Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat Didakwa Terima Rasuah RM10,000

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang Penolong Pegawai Daerah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menerima suapan RM10,000 bagi sebahagian pembayaran sebuah rumah daripada seorang pengarah syarikat pembinaan berhubung permit pengambilan pasir pada Mac tahun lepas.

Norhanizatuazwin Samsuni, 29, dari Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Tertuduh merupakan antara 38 individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa negeri minggu lepas berhubung isu permohonan permit pasir.

Norhanizatuazwin, yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dekat sini, didakwa telah secara rasuah memperoleh bagi dirinya suapan berjumlah RM10,000 iaitu bayaran bagi peringkat 2(a) dan sebahagian peringkat 2 (b) bagi rumah C-4-25, Rumah Pangsa Kajang Impian, sebagai balasan bagi dirinya kerana membantu meluluskan permohonan tempoh permit bagi kebenaran khas untuk mengalih bahan batuan (mendapan kelodak atau tanah merah) ke atas tanah Lot 7705, Mukim Hulu Langat.

Norhanizatuazwin didakwa melakukan kesalahan itu di No 45 A, Jalan Bukit Mewah 11, Taman Bukit Mewah, Kajang, pada 12.30 tengah hari 17 Mac tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang ditangkap pada 20 Januari lepas juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan pilihan iaitu secara rasuah bersetuju menerima bagi dirinya suapan RM10,000 iaitu bayaran bagi peringkat 2 (a) dan sebahagian peringkat 2 (b) untuk rumah C-4-25, Rumah Pangsa Kajang Impian daripada pengarah syarikat berkenaan yang mempunyai urusan rasmi dengannya, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee dari SPRM mencadangkan agar tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000.

Beliau juga memohon mahkamah menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 101 (2) Akta Mahkamah Rendah agar identiti saksi kes itu iaitu pengarah syarikat pembinaan terbabit dan nama syarikatnya tidak didedahkan.

"Permohonan ini dibuat atas alasan saksi berkenaan masih dalam usaha membantu SPRM menjalankan siasatan terhadap kes-kes lain yang berkaitan dengan projek tanah. Jika namanya didedahkan ada risiko bahawa ia akan menjejaskan siasatan SPRM," katanya.

Norhanizatuazwin pula merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan dia sedang dalam proses perceraian dan perlu menyara seorang anak berumur setahun tiga bulan dan menanggung persekolahan adiknya di Sabak Bernam.

"Saya dalam proses perceraian dan membabitkan hak jagaan anak, jadi saya terpaksa tanggung kos guaman untuk kes itu. Selain itu, saya ada beberapa tanggungan lain seperti rumah, kereta, kad kredit, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Saya juga sudah beri sepenuh kerjasama kepada SPRM sejak ditangkap pada 20 Januari lepas hingga 25 Januari lepas selain perlu menanggung kos guaman untuk perbicaraan kes ini. Pohon mahkamah kurangkan jumlah jaminan kepada RM2,000," katanya.

Mat Ghani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan melantik peguam.

Beliau turut mengeluarkan perintah sekatan agar pihak media tidak mendedahkan identiti saksi dan nama syarikatnya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan