Palsu Bon US$ 5 Bilion: Dua Bekas Pegawai PUNB Dilepaskan

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua bekas pegawai kanan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini berhubung tuduhan memalsukan sijil-sijil bon bernilai US$5 bilion (kira-kira RM18 bilion) pada tahun 2000.

Dalam keputusannya, Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata, tindakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 69, dan bekas Setiausaha Mohamad Aminuddin Mohamed Zain, 53, dalam mengeluarkan bon tanpa kebenaran lembaga adalah satu perbuatan bodoh dan penyalahgunaan kuasa tetapi bukan jenayah.

"Saya terima testimoni tertuduh pertama dan kedua bahawa mereka tidak berniat tidak jujur dalam mengeluarkan bon itu dan ia dilakukan dengan tujuan istimewa bagi mengumpul dana untuk kepentingan PUNB," kata Komathy.

Beliau berkata, mahkamah menolak hujahan pendakwa raya bahawa pembelaan mereka merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian atau pemalsuan.

Ahmad Zukni dan Mohamad Aminuddin dituduh bersama memalsukan dokumen pada 13 Okt, 2000 di Wisma UOA II, No 21, Jalan Pinang, di sini.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa Ahmad Zukni dan Mohamad Aminuddin telah berkunjung ke London dalam kelas bisnes untuk membuka akaun korporat bagi memudahkan pemindahan sijil bon.

Komathy berkata, Ahmadi telah menulis sepucuk surat bertarikh 11 Disember kepada Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai kekecewaan beliau dalam mendapatkan kebenaran Lembaga PUNB bagi pengeluaran bon-bon yang bertujuan bagi mengumpul dana untuk cadangan empat projek mega bernilai RM16 bilion.

Beliau berkata, masalah besar dalam pembelaan Ahmadi ialah beliau tidak mendapatkan kebenaran lembaga kerana mereka berfikiran konservatif dan berpuas hati dalam keputusan-keputusan mereka.

"Bon itu dikeluarkan kerana beliau yakin dan dengan jujur percaya bahawa beliau akan mendapat restu dan sokongan PM bagi mendapatkan kebenaran yang diperlukan daripada lembaga PUNB dan pihak berkuasa yang lain selepas itu," kata Komathy.

Beliau berkata, Ahmadi juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dapat mengadakan temu janji dengan Tun Dr Mahathir pada 29 Disember 2000 untuk memberi taklimat kepadanya mengenai bon itu tetapi sebelum dapat berbuat demikian, Bank Negara telah bertindak terhadap beliau pada 22 Disember.

Bagi Mohamad Aminuddin, Komathy berkata, beliau telah menandatangani bon atas arahan Ahmadi kerana beliau yakin dan percaya bahawa Ahmadi mampu mendapatkan kebenaran yang diperlukan selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri.

Sebaik sahaja selepas keputusan itu, Ahmadi yang kelihatan tenang, memberitahu pemberita: "Hidup mesti diteruskan dan saya kini hampir menjangkau 70 tahun sekarang. Saya tidak kisah untuk kembali kepada PUNB jika ada tawaran dan terus berkhidmat kepada negara."

Mohamad Aminuddin berkata, beliau bersyukur kerana ujian terhadapnya telah berakhir selepas hampir 10 tahun sambil menambah bahawa beliau ingin memulakan kehidupan yang baru.

Ahmadi diwakili Peguam Goik Kenzu dan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala Mohamad Aminuddin oleh T. Suresh.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan