Pasangan Kekasih Lepas Tuduhan Miliki Senjata Api

Diterbitkan: Selasa, 26 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan pasangan kekasih daripada tuduhan memiliki senjata api.

Hakim Rosilah Yeop membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan berjaya mewujudkan keraguan munasabah di pihak pendakwaan berhubung hak milik eksklusif premis tempat pasangan kekasih itu ditangkap.

Tertuduh Roziah Daud, 31, dan Roshanjit Singh a/l Ajit Singh, 32, dituduh melakukan kesalahan itu di bangunan kedai 314, Tingkat 2 Jalan Jelutong, pukul 6 petang, 19 Mac 2008.

Roziah seorang penganggur menghadapi tuduhan memiliki sepucuk pistol jenis Walter 7.65mm serta empat butir peluru dan sepucuk pistol Air Rifle model 727 tanpa kebenaran yang sah, dituduh di bawah Seksyen 9 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

Roshanjit Singh yang bekerja sebagai pemungut hutang berlesen, menghadapi empat tuduhan, tuduhan pertama memiliki empat bilah parang dan satu kerambit tanpa kebenaran dan didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api Berbahaya 1958. Tuduhan kedua, memiliki sepucuk pistol jenis Walter 7.65mm dan empat butir peluru, sepucuk Air Rifle model 727 tanpa kebenaran yang sah, dia dituduh di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

Bagi tuduhan ketiga, Roshanjit Singh dituduh memiliki sepucuk pistol tiruan, didakwa di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan tuduhan keempat memiliki empat butir peluru hidup jenis RP32 tanpa lesen, didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Roziah dan Roshanjit Singh diwakili Peguam Bela Ranjit Singh Dhillon, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya G.Jaya Prem.

Pasangan kekasih itu turut menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori bagaimanapun kes itu belum disebut di Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan