CEO Hadapi Tuduhan Ambil RM70 Juta, Mengaku Tidak Bersalah

Diterbitkan: Isnin, 25 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Seorang ketua pegawai eksekutif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan mengambil wang deposit tanpa lesen berjumlah RM70 juta daripada orang ramai antara Februari dan Oktober 2008.

Syed Shareezally Syed Aualadali, 39, dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zamri Bakar, bersama rakan kongsinya A. Halim A Rahman, 39, selaku pemilik syarikat Eastana Farm Industries Sdn Bhd, yang beroperasi di 47-1, Jalan TKS 7, Taman Komersial Senawang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) 1989 di mana mengutip wang deposit adalah salah tanpa mendapat lesen dari Bank Negara.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM10 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Syed Shareezally mengaku tidak bersalah dan hakim membenarkan dia diikat jamin RM300,000 manakala A. Halim dikenakan ikat jamin RM400,000 sehingga kes mereka disebut semula pada 8 Feb ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Mohd Shukri Mansor dari Bank Negara.

Kedua-dua lelaki itu, yang tinggal berjiran di kawasan kediaman mewah Lavender Heights di sini, ditahan selepas pegawai-pegawai Bank Negara menyerbu premis Eastana Farm Industries pada 13 Okt 2008 selepas mendapat aduan dari orang awam.

Mereka diwakili peguam Mohd Fadly Hashim dan Zorah Jan Mohd Newaz.

Syarikat itu menjalankan perniagaan penternakan lembu dan daging segar.

Melalui internet, syarikat ini mempelawa orang ramai untuk melabur dengannya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan