Kes Saman Bekas Suami Daphe Iking Akan Disebut Semula 19 Februari Depan

Diterbitkan: Khamis, 21 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Personaliti televisyen, Daphne Iking
Personaliti televisyen, Daphne Iking

KUALA LUMPUR: Kes saman peribadi bekas suami Daphne Iking, Chong Yiing Yih, berhubung dakwaan seorang tokoh korporat, Darren Choy Khin Ming,‘memikat’ pengacara dan model itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Februari depan.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak, menetapkan tarikh tersebut selepas dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Choy, Akhbardin Abdul Kader, yang mendakwa pihaknya masih belum menerima rekod rayuan tambahan daripada responden.

Pada 26 Ogos tahun lalu tahun, Choy yang juga Pengarah Urusan Adidas Malaysia telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonannya supaya kes saman peribadi itu didengar di hadapan majistret lain.

Bekas suami model itu, Chong, 31, telah mengemukakan saman peribadi terhadap Choy, 44, kerana dituduh memikat atau membawa pergi seorang perempuan iaitu Daphne, 30, yang ketika itu masih menjadi isteri kepada Chong dengan niat untuk membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di B-13-2 The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr Ismail di sini, antara Julai 2007 hingga September 2008.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada Ogos tahun lepas, Majistret Mohd Faizi Che Abu telah membenarkan Chong (plaintif) mengemukakan saman peribadi itu setelah pihak pendakwaraya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Choy atas alasan ia merupakan isu peribadi antara suami dan isteri.

Pada 9 Disember lalu, Choy memohon supaya Majistret Mohd Faizi menarik diri daripada mendengar kesnya bagi mengelak berlaku prejudis kerana majistret tersebut telah mengambil aduan daripada Chong sebelum ini.

Choy turut memohon untuk merujuk ke Mahkamah Tinggi tujuh soalan perlembagaan bagi menentukan sama ada prosiding saman peribadi terhadapnya adalah sah dari segi perlembagaan.

Daphne dan Chong berkahwin pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia dan mempunyai seorang anak perempuan, Isobel, berusia dua tahun.

Bagaimanapun, pasangan ini telah bercerai tahun lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan