Keputusan Sama Ada Saksi Rogol Boleh Beri Keterangan Melalui Video Pada 4 Febuari

Diterbitkan: Khamis, 21 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 4 Februari untuk memutuskan sama ada seorang remaja perempuan mangsa rogol dibenarkan memberi keterangannya melalui sidang televisyen secara langsung.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat ketetapan itu selepas isu itu dibangkitkan dua peguam bela yang memohon untuk menyemak semula keputusan hakim Mahkamah Sesyen membenarkan gadis tersebut memberikan keterangan mengikut Seksyen 272B, Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Seksyen 272B kanun itu membolehkan seseorang saksi dalam perbicaraan untuk memberikan keterangan melalui rakaman video, atau secara langsung melalui siaran video atau televisyen.

Permohonan semakan itu dikemukakan peguam Pari Perumal, mewakili tertuduh pertama dan kedua Mohamad Amir Madzlan dan Nazrul Ismail, serta peguam Ahmad Shuaib Ismail Sham bagi tertuduh ketiga Shahrul Helmi Ab Halim.

Ketiga-tiga mereka didakwa merogol remaja perempuan itu yang ketika itu berumur 14 tahun di sebuah bilik di bangunan Wisma Indah, Jalan Pudu, Cheras di sini, antara pukul 9.30 malam pada 13 Disember, 2007 hingga 10.30 malam keesokannya.

Pada 19 November lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Fathiyah Idris membenarkan mangsa, yang juga merupakan saksi keempat pendakwaan, untuk memberikan keterangan secara langsung melalui sidang televisyen, dari luar mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, Pari menghujahkan mangsa tidak perlu memberikan keterangan di luar mahkamah kerana tiada bukti tertuduh pernah mengganggu atau menakut-nakutkannya.

Peguam itu juga mempersoalkan ketiadaan satu garis panduan yang lengkap tentang cara mengendalikan sistem sidang televisyen secara langsung untuk mendengar keterangan saksi di mahkamah, termasuk ketiadaan salinan rakaman sidang televisyen itu.

"Bagaimana saksi hendak mengecam tertuduh di kandang tertuduh nanti? Tidak ada kamera diletakkan di kandang (tertuduh), dan monitor televisyen pula hanya terletak di meja peguam dan meja hakim yang jauh daripada kandang (tertuduh)," katanya lagi.

Ahmad Shuaib pula membangkitkan isu keraguan tentang keadaan bilik tempat sidang televisyen secara langsung itu dikendalikan.

"Keadaan bilik adalah meragukan kerana kita tidak tahu di mana ia dijalankan, siapa pihak yang ada di situ, dan tiada jaminan saksi mungkin menggunakan apa-apa nota semasa memberi keterangan," katanya.

Beliau berkata adalah penting supaya keterangan didengar secara terbuka bagi membolehkan peguam tertuduh melihat cara, watak, kelakuan dan gaya saksi ketika memberikan keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Mazelan Jamaludin dalam hujahan balasnya berkata perwatakan saksi masih boleh diperhatikan melalui skrin televisyen ketika memberikan keterangan.

Beliau juga berkata sidang televisyen secara langsung itu perlu dijalankan berdasarkan standard teknikal seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 272B(2)(g) KTJ.

Bagaimanapun Mazelan tidak menjelaskan secara lanjut apakah standard teknikal tersebut.

Sebelum ini, keterangan melalui video pernah diadakan dalam satu kes rogol kanak-kanak di Mahkamah Shah Alam pada tahun 2007 di bawah Akta Keterangan Kanak-kanak 2004.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan