2 April Keputusan Permohonan MTUC BErhubung Dokumen Penswastaan Air

Diterbitkan: Selasa, 19 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Permohonan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 individu yang mencabar keputusan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi kerana enggan mendedahkan laporan audit dan perjanjian konsesi berhubung penswastaan air akan diputuskan pada 2 April.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamed Apandi Ali, menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut untuk pengurusan kes di dalam kamarnya. Beliau juga turut memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis sebelum 23 Mac.

MTUC dan 13 individu termasuk dua kanak-kanak berusia 10 dan 15 tahun, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 15 Jan, 2007 agar mahkamah mengeluarkan satu perintah deklarasi bahawa laporan audit itu dan perjanjian konsesi yang ditandatangani di antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Kerajaan Negeri Selangor pada 15 Dis, 2004 diklasifikasikan sebagai dokumen awam dan bukan dokumen rahsia.

Pemohon berkata sebagai pengguna air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, mereka mempunyai hak untuk mendapat akses laporan audit dan perjanjian konsesi antara Syabas dan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

MTUC mendakwa yang laporan audit itu adalah penting kerana laporan tersebut membentuk asas kepada kenaikan kadar tarif air 15 peratus di Lembah Klang seperti yang diumumkan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik pada 14 Okt, 2006.

Mereka mendakwa kerajaan mempunyai kewajipan di sisi undang-undang untuk bertindak secara telus dan bertanggungjawab di dalam pelaksanaan biasa peraturan pasaran air dan dalam keadaan yang menimbulkan syak seperti pasaran air yang sedang digunakan untuk mengaut keuntungan.

Pemohon berkata mereka telah menulis satu surat kepada Menteri tersebut pada 7 Nov, 2006 meminta laporan audit dan perjanjian konsesi itu didedahkan, tetapi permintaan itu telah ditolak oleh Menteri berkenaan pada 4 Dis, 2006 atas alasan dokumen tersebut adalah dokumen sulit dan rahsia kerajaan.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, mereka juga memohon satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan menteri tersebut untuk tidak mendedahkan kandungan dua dokumen berkenaan dan perintah mandamus untuk meminta menteri tersebut mendedahkan kandungan dokumen itu kepada orang awam.

Mahkamah tinggi memberi kebenaran kepada pemohon pada 14 Jun, 2007 selepas memutuskan permohonan untuk semakan itu bukan remeh dan boleh dihujahkan. Peguam Ang Hean Leng dan Mathew Thomas Philip mewakili pemohon. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan