Dr Pornthip Tak Didakwa Bocor Laporan Forensik Teoh Beng Hock

Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa Peguam Negara tidak akan mendakwa ahli patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rajanasunand, berhubung dakwaan membocorkan maklumat laporan forensik mendiang Teoh Beng Hock kepada sebuah akhbar tabloid tempatan.

Peguam Tan Hock Chuan memberitahu Koroner Azmil Muntapha Abas, yang sedang mendengar inkues mengenai kematian Teoh, berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telahpun meneliti kertas siasatan yang diserahkan oleh polis semalam dan mendapati tidak terdapat bukti kukuh bagi menyokong dakwaan itu.

"Dalam keadaan itu, Peguam Negara berpendapat tiada asas untuk mendakwa Dr Pornthip atas tuduhan itu," kata Tan yang bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia dalam inkues berkenaan.

Beliau juga berkata Dr Pornthip tidak akan dihalang daripada memberi keterangan dalam prosiding inkues itu selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberikan jaminan tidak akan menahan atau mengganggu saksi itu.

Tan menjelaskan perkara itu di hadapan Azmil Muntapha pagi ini sebelum mahkamah mendengar prosiding menghina mahkamah terhadap dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat laporan polis terhadap Pornthip pada 1 Januari lalu.

Dua pegawai SPRM berkenaan, Raub Ghani, 41, dan Hisyam Mohd Yusoff, 30, telah membuat laporan polis berhubung artikel bertajuk "Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh" yang disiarkan akhbar Suara Keadilan pada 29 Disember, 2009.

Berikutan itu, abang mendiang, Teoh Meng Kee mendakwa laporan polis itu sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan dan mengugut Dr Pornthip daripada memberi keterangan berhubung bedah siasat kedua ke atas Beng Hock, dan memohon mahkamah mengadakan prosiding menghina mahkamah terhadap pegawai itu.

Meng Kee memfailkan notis usul menghina mahkamah itu melalui peguamnya Karpal Singh pada 5 Jan lepas, dan hujah berhubung isu itu ditetapkan untuk didengar hari ini.

Dalam prosiding hari ini, Koroner Azmil menyarankan supaya prosiding menghina mahkamah tersebut tidak diteruskan setelah pihak Peguam Negara dan Ketua Polis Negara memberi jaminan tidak akan mendakwa atau menahan Dr Pornthip daripada hadir ke mahkamah dan memberikan keterangan.

Bagaimanapun Karpal membantah atas alasan Raub tetap perlu dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana pegawai itu telah dengan sengaja membuat laporan polis yang tidak berasas dan palsu. "Peguam Negara sendiri menyatakan tiada bukti menyokong dakwaan terhadap Dr Pornthip, ini jelas menunjukkan pegawai SPRM tersebut tidak bertanggungjawab dan sengaja membuat laporan polis palsu. Ini adalah suatu kesalahan serius.

"Kami mahu pegawai ini dikenakan tindakan menghina mahkamah dan disabitkan dengan kesalahan itu serta dihukum penjara," kata Karpal.

Koroner Azmil menetapkan 22 Februari depan untuk mendengar hujahan peguam itu terhadap isu sama ada prosiding menghina mahkamah perlu diteruskan ke atas Raub, sebelum prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Beng Hock yang terhenti November lepas, diteruskan semula.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lepas di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan