Pekerja Kilang Warga Nepal Digantung Kerana Bunuh Rakan Senegara

Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang warga Nepal dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh rakan senegaranya dengan menikam mangsa sebanyak tiga kali menggunakan pisau, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pembelaan tertuduh, Ram Bahadur Rai, 39, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

"Pembelaan tertuduh mestilah benar dan bukannya imaginasi atau direka-reka. Keterangan saksi pendakwaan ketujuh (pengawal keselamatan di tempat kejadian) jelas tidak goyah bahawa tertuduh mengejar mangsa dengan pisau sebelum ditangkap dengan bantuan orang awam," katanya.

Ram didakwa menikam Mingtanji Sherpa, 27, di bilik nombor A2-4, Asrama Pekerja Kilang Plexitech Sdn Bhd, Lot 178, Jalan 4, Kawasan Perindustrian Olak Lempit, Banting, dekat sini, pada pukul 1 pagi, 14 Februari 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan seramai 14 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala tertuduh memberi keterangan secara bersumpah pada pembelaannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar sementara Ram diwakili peguam Jagdish Kaur. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan