Kontraktor Hadapi Lima Pertuduhan Palsu Dokumen

Diterbitkan: Rabu, 13 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Seorang kontraktor dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas lima pertuduhan berhubung pemalsuan dokumen membabitkan nilai melebihi RM300,000.

Yusri Che Noh, 39, yang berasal dari Kampung Chicha, Kubang Kerian di sini mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan mohon dibicarakan.

Bagi pertuduhan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nur Wan Idris, tertuduh didakwa memberikan kepada seorang ejen iaitu Nik Mustopha Wan Yusoff (Pembantu Tadbir Kanan Pejabat Sultan Kelantan) satu invois bertarikh 5 September 2007 yang prinsipalnya mempunyai kepentingan mengenainya.

Dokumen itu didakwa mengandungi butir matan yang palsu iaitu tuntutan membekal perabot, kabinet di Istana Negeri, Kubang Kerian iaitu membekal formica di meja dan membekal kabinet dapur berjumlah RM20,283.60 yang sebenarnya pembekalan peralatan perabot itu tidak dilakukan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada bulan September 2007 di Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar di sini dan tuduhan dibuat mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta yang sama.

Selain itu, Yusri turut didakwa melakukan pada bulan dan tempat yang sama, menggunakan sebagai tulen satu pesanan kerajaan yang mengandungi tandatangan perakuan mutu Wan Mohd Norsina Wan Yusoff sebenarnya surat palsu.

Pertuduhan ketiga juga pada bulan dan tempat yang sama, iaitu menggunakan invois Wan Mohd Norsina bertarikh 5 September 2007 yang merupakan invois palsu.

Dakwaan terhadap kedua-dua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 465 kanun yang sama.

Sementara itu, ketika didakwa di hadapan Hakim Rafiah Mohamad pula, Yusri dituduh memberikan seorang ejen iaitu Datuk Shkori Mohamed (Pegawai kewangan negeri Kelantan) satu dokumen invois Yus Construction & Trading bertarikh 3 Mac 2009.

Invois itu didakwa mengandungi butiran palsu mengenai keluasan untuk membekal bahan dan kerja-kerja menurap tempat parkir dalam Istana Negeri iaitu 2,436 meter persegi dengan harga RM27 semeter membabitkan jumlah keseluruhan tuntutannya sebanyak RM65,772.

Bagaimanapun, kerja-kerja membekal bahan dan menurap tempat parkir tersebut hanya dilakukan seluas 1,376 meter persegi sahaja yang membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM37,152.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 Mac 2009 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan tuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut seksyen 24 akta yang sama.

Bagi pertuduhan kelima yang dijalankan di hadapan Hakim Zainal L. Saleh, Yusri didakwa memberi kepada Shkori invois bertarikh 3 Disember 2008 iaitu tuntutan membekal bahan dan kerja-kerja membina serta menyiapkan tempat burung puyuh di tapak projek Diraja Banggol, di sini seluas 7,656 kaki persegi dengan kos RM267,960 yang mana projek tersebut tidak dilakukan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan pada bulan Disember 2008 dan didakwa menurut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Sophian Zakaria memohon menawarkan jaminan RM80,000 bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, jaminan RM80,000 bagi pertuduhan keempat dan RM100,000 bagi pertuduhan kelima.

Mohd Sophian berkata beliau memohon nilai jaminan yang tinggi berikutan kesalahan yang dilakukan tertuduh bagi satu-satu pertuduhan melibatkan nilai ribuan ringgit dan membabitkan Istana Negeri, kerajaan negeri dan kepentingan awam.

Sementara itu, Yusri yang tidak diwakili peguam pula memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan jaminan yang paling minimum berikutan kesemua wang dalam akaunnya telah pun dibekukan.

Selain itu, Yusri berkata dia masih belum menerima bayaran bagi kesemua projek yang dijalankan syarikatnya pada 2009 dan dia kini tidak dapat meneruskan apa-apa projek lagi selepas ditahan SPRM.

Hakim Wan Fadhilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dan menetapkan 5 dan 6 April depan sebagai tarikh perbicaraan.

Hakim Rafiah pula membenarkan Yusri diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan keempat dan menetapkan 24 dan 25 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan manakala Hakim Zainal pula membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kelima.

Zainal turut menetapkan 2 dan 3 Mac depan sebagai tarikh perbicaraan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan