Siti Hajar Titis Air Mata Cerita Azab Didera Majikan

Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia menitiskan air mata serta meluahkan perasaan marah terhadap bekas majikannya ketika memberi keterangan terperinci di Mahkamah Sesyen di sini mengenai kejadian dia disimbah air panas manakala lehernya dikelar menggunakan pisau pemotong sayur.

Siti Hajar Sadli, 34, juga tidak dapat menahan sebak ketika memberitahu mahkamah mengenai seorang pemandu teksi yang membantu menghantarnya ke Kedutaan Indonesia di sini serta memberi wang tunai RM18 untuk membeli makanan tetapi dia tidak dapat mengambil nama ataupun nombor pendaftaran teksi tersebut kerana keadaannya yang terlalu lemah ketika itu.

Siti Hajar turut mengenal pasti lesung, tukul besi, pisau, parang, gunting, cawan, dan kerusi besi yang didakwa digunakan oleh ibu tunggal Hau Yuan Tyng, 43, yang menghadapi dua tuduhan mendatangkan kecederaan parah serta tuduhan mendatangkan kecederaan menggunakan gunting terhadapnya.

Mangsa turut mengenal pasti kerusi kayu yang patah, yang didakwa digunakan untuk menyerangnya.

Hau didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan tersebut di Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara pada Februari dan Jun, 2009.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis mengenai cara dia didera oleh Hau, Siti Hajar berkata lesung digunakan untuk menumbuk kaki serta kukunya manakala parang serta pisau kecil pula digunakan bagi mengelar lehernya.

Sambil menangis, Siti Hajar menunjukkan kesan kelar di bahagian leher serta kesan hentaman dengan tukul besi di bahagian hidung serta bahagian hadapan kepalanya.

"Hampir setiap hari Mem (Hau) meminta mengurut badannya dan paha saya dicucuknya dengan gunting sekiranya cara urut saya tidak cukup kuat," kata Siti Hajar.

Disoal Anselm mengenai jenis pakaian yang dipakainya ketika dicucuk dengan gunting, Siti Hajar berkata dia memakai seluar jeans.

"Jeans dapat mengurangkan kecederaaan dan majikan arahkan buang jeans tersebut apabila seluar itu mengalami banyak kesan koyakan," katanya.

Ditanya mengenai usahanya untuk melarikan diri, Siti Hajar berkata dia telah mengumpil pintu gril lewat malam sebelum menaiki lif dan menyorok selama beberapa jam dalam parit kecil di kondominium itu.

"Hampir hendak Subuh, saya naik pagar sebelum tahan teksi dan beritahu pemandu apa yang berlaku dan jelaskan saya tidak mempunyai wang tetapi pemandu itu sanggup menghantar saya ke kedutaan," kata Siti Hajar.

Mangsa juga berkata dia dipaksa menggunakan mangkuk tandas untuk membersihkan muka setiap kali mukanya berdarah akibat dipukul dengan tukul besi dan majikannya tidak membenarkan dia menggunakan sinki.

Disoal balas oleh peguam M. Manoharan, yang mewakili Hau, mengenai secara tepat dia diserang dengan tukul besi pada bulan Februari 2009 sedangkan dia tidak banyak berpelajaran, dengan nada tegas Siti Hajar berkata dia boleh mengira serta boleh membaca kalendar.

"Saya ada belajar sampai darjah enam, bolehlah baca kalendar dan saya pasti kejadian itu pada bulan Februari," kata Siti Hajar.

Ditanya kenapa dia tidak meminta pertolongan sekiranya dicederakan oleh majikannya, Siti Hajar berkata gril rumah sentiasa dikunci dan tidak ramai orang lalu-lalang di hadapan rumah tersebut.

Ketika Hakim S. M. Komathy Suppiah bertanyakan sebab dia tidak menunjukkan perasaan marah terhadap majikannya sepertimana ketika disoal Manoharan, Siti Hajar berkata dia tidak berani melawan dan takut dicederakan lebih teruk lagi.

Perbicaraan disambung Khamis ini. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan