Pemandu Teksi Miliki Ganja Dipenjara 10 tahun - Berita Mahkamah | mStar

Pemandu Teksi Miliki Ganja Dipenjara 10 tahun

Diterbitkan: Isnin, 11 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi dipenjara 10 tahun dan 10 sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki dadah jenis ganja seberat 228.45 gram pada 2008.

Hakim Datuk Ghazali Cha memerintahkan Davinder Singh Malkiat Singh, 33, menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh beliau ditangkap pada 24 November 2008.

Davinder didakwa melakukan kesalahan tersebut di hadapan Condo Platinium Victory, Melati Utama, Wangsa Maju pada kira-kira jam 1.40 pagi.

Sebelum ini, Davinder telah meminta dibicarakan pada 30 November tahun lalu, apabila dituduh mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Mengikut fakta kes, dua anggota polis menahan Davinder yang sedang berbaring di tempat duduk teksinya bersama dua orang penumpang lain.

Pemeriksaan lanjut yang dilakukan, kedua-dua anggota polis itu menemui satu ketulan dadah disyaki ganja dan satu alat penimbang di bawah kerusi pemandu.

Peguam Davinder, Datuk Baljit Singh Sidhu, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya merupakan pesalah pertama dan telah insaf dengan perbuatannya serta ingin kembali ke pangkuan keluarga secepat mungkin.

Timbalan Pendakwa Raya, Geethan Ram Vincent berkata, walaupun Davinder telah mengaku bersalah, mahkamah perlu mengambil kira jumlah dadah yang terlibat dan kesan penglibatannya dalam gejala dadah yang telah menghancurkan masa depan ramai remaja serta keluarga mereka. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan