Mahkamah Persekutuan Beri Anwar Masa Fail Rayuan

Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan dokumen bagi perbicaraan liwatnya ke satu tarikh yang akan ditetapkan bagi memberi beliau masa mencukupi untuk memfail petisyen dan membuat persiapan untuk kesnya.

Penangguhan diberikan kepada ketua pembangkang itu oleh panel terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Datuk Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embung. Terdahulu semasa prosiding, peguam Anwar, Karpal Singh memberitahu mahkamah mereka harus diberikan masa yang cukup untuk menyediakan rayuan oleh kerana mereka hanya menerima rekod rayuan dari Mahkamah Rayuan pada 30 Disember tahun lepas.

"Menurut peraturan, kami mempunyai 10 hari dari hari kami menerima rekod rayuan, bagi memfail petisyen rayuan. Kami akan fail petisyen menjelang Isnin.

"Kami juga menerima notifikasi dari mahkamah pada 29 Disember tahun lepas, memberitahu kami bahawa rayuan ini ditetapkan untuk pendengaran hari ini. Adalah tidak mengikut perlembagaan tarikh pendengaran ditetapkan sekalipun petisyen rayuan belum difailkan," kata beliau.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden bagaimanapun meminta mahkamah menetapkan tarikh awal bagi pendengaran rayuan oleh kerana kes itu melibatkan kepentingan awam dan perbicaraan sodomi di Mahkamah Tinggi akan bermula pada 25 Januari. Namun begitu Karpal pantas berkata: "Tidak perlu tergesa-gesa. Ini rayuan penting melibatkan interpretasi seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC). Keputusan mahkamah ini akan mengikat dan menjejas mahkamah-mahkamah lain.

"Hanya kerana perbicaraan akan berjalan pada 25 Januari, tidak bermakna rayuan ini harus dilakukan tergesa-gesa. Kami harus diberikan masa mencukupi, sekurang-kurangnya sebulan." Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, 2008.

Pada 26 Julai tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Anwar mendesak pendakwa membekalkan beliau dokumen di bawah seksyen 51A CPC bagi membolehkan beliau membuat persiapan bagi pembelaan dirinya agar proses pendakwaan lebih terbuka dan adil.

Bagaimanapun, pada 6 November tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa terhadap perintah Mahkamah Tinggi itu atas alasan dokumen yang diminta oleh Anwar tidak tertakluk di bawah Seksyen 51A CPC oleh kerana ada had bagi pendakwa membekal dokumen tertentu kepada tertuduh.

Antara dokumen yang diminta ialah kenyataan saksi yang direkodkan daripada Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi dan tuan punya kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan balas Anwar terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang sama yang menolak permohonannya untuk mendapatkan sampel spesimen daripada Mohd Saiful.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan