Permohonan KDN Tangguh Perintah Penggunaan Kalimah Allah Didengar Esok

Diterbitkan: Selasa, 5 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasakuasa Khas) menetapkan esok untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan sebuah majalah minggu Katholik, Herald menggunakaan perkataan Allah.

Timbalan Pendaftar Nik Isfahanie Abd Rahman menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A. Dadi memfailkan notis penangguhan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi sekitar tengah hari, hari ini.

Hakim Datuk Lau Bee Lan akan mendengar permohonan itu pada kira-kira jam 2.30 petang.

Andi memberitahu pemberita, sijil kesegeraan turut difailkan bersamasama notis itu bagi mendapatkan tarikh pendengaran awal. Dalam notis itu, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan dinamakan sebagai responden.

Andi berkata, sijil itu difailkan kerana kes itu kini menjadi tumpuan awam dan melibatkan isu sensitif disamping menyentuh soal keselamatan negara.

"Kami (responden) memerlukan penangguhan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Jika rayuan itu memihak kepada kami, penangguhan itu tidak berguna lagi," katanya.

Pada Isnin, kementerian itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.

Pada 31 Disember lepas, Hakim Lau memutuskan berdasarkan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan "Allah" untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi 'God' dalam bahagian bahasa Malaysia.

Perkataan 'Allah' digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama kristian di Sabah dan Sarawak, kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri memberikan justifikasi bagi larangan penggunaan perkataan itu oleh majalah itu atas alasan demi keselamatan negara dan mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan