Peniaga Kedai Makan Terlepas Hukuman Gantung

Diterbitkan: Isnin, 4 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Peniaga kedai makan, Ahmad Abdul Razak, 29, terselamat daripada hukuman gantung sampai mati setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah pada 2006.

Pesuruhjaya Kehakiman Chew Soo Ho membuat keputusan itu tanpa memanggil Ahmad membela diri kerana mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Chew berkata, daripada keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan, terdapat terlalu banyak keraguan.

"Keraguan yang wujud amat ketara yang mencakupi elemen-elemen penting dalam kes itu terutama melibatkan masa, tempat dadah dijumpai, jumlah dadah dan wujudnya rundingan jual beli antara tertuduh dan dua anggota polis yang menyamar sebagai ejen perangkap," katanya.

Hakim Chew berkata, keterangan dua saksi utama, Lans Koperal Muhd Dahalan Yunos dan Lans Koperal Abdul Razak Long, mengenai tempat sebenar pertemuan antara Ahmad dan mereka berdua selaku ejen perangkap, untuk urusan jual beli dadah amat berbeza.

"Justeru, mahkamah berpendapat, tertuduh tidak wajar dipersalahkan dalam kes ini. Oleh itu saya memerintahkan tertuduh tidak dipanggil membela diri atas tuduhan yang didakwa terhadapnya. Dia dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan," katanya.

Ahmad, yang berbaju kemeja coklat dan berseluar biru, kelihatan memeluk peguamnya, Ranjit Singh Dillon, dan beberapa rakannya selepas prosiding mahkamah selesai.

Dia kemudian bergegas meninggalkan kawasan mahkamah dengan membonceng sebuah motosikal yang ditunggang rakannya.

Ahmad didakwa mengedar 29,061 gram kanabis pada 9 malam 18 Mei 2006 di kawasan Kampung Sungai Nibong, Bayan Lepas, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan