KDN Fail Rayuan Penggunaan Kalimah 'Allah'

Diterbitkan: Isnin, 4 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.

Esok, kementerian itu akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Disember.

"Notis penangguhan pelaksanaan perintah itu akan difailkan esok di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini," kata Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said semasa dihubungi.

Semasa Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan itu pada 31 Disember, Kamaluddin telah memaklumkan mahkamah yang beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada Kementerian Dalam negeri dan kerajaan sama ada akan merayu atau memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Hakim Datuk Lau Bee Lan memutuskan mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata, mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan "Allah" untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi 'God' dalam bahagian bahasa Malaysia. Perkataan 'Allah' digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama kristian di Sabah dan Sarawak, kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri memberikan justifikasi bagi larangan penggunaan perkataan itu oleh majalah itu atas alasan demi keselamatan negara dan mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan