Tertuduh Dakwa Tiada Niat Bunuh Pasangan Suami Isteri

Diterbitkan: Rabu, 30 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pengikut Al-Arqam didakwa membunuh sepasang suami isteri hari ini mengakui di Mahkamah Tinggi di sini beliau memukul kedua-dua mangsa dengan kayu, topi keledar dan batang mop sehingga berdarah bagi rawatan menyucikan diri daripada makhluk halus.

Tertuduh, Muhammad Ilyas Abdul Razak bagaimanapun menegaskan dia tidak berniat untuk menyebabkan kematian mangsa, yang merupakan ibu dan bapa saudaranya, dan tidak tahu tindakannya semasa melakukan upacara penyembuhan itu boleh mendatangkan kematian.

Muhammad Ilyas, tertuduh pertama dalam kes itu, berkata demikian dari kandang tertuduh ketika membaca keterangan bertulis untuk membela diri terhadap tuduhan membunuh Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan Rosina SM Mydin Pillay, 42, di rumah No 5-7C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga, di sini pada pukul 12 tengah hari dan 8 malam, 1 Okt tahun lepas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu bersama-sama adiknya Muhammad Fauzi Abdul Razak, 22, dan anak pasangan itu, Muhammad Nizam Muhammad Ibrahim, 21, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

"Saya telah memukul bapa saudara saya dengan menggunakan helmet dan kayu daripada meja yang sudah pecah. Dia tidak bantah, tidak menangis dan tidak berkata dia merasa sakit.

"Saya telah minta ibu saudara saya duduk di atas lantai dan saya telah memukulnya dengan menggunakan kayu mop, helmet dan kaki meja sehingga dia berdarah," kata tertuduh.

Muhammad Ilyas berkata selepas rumah dibersihkan daripada tompokan darah, dia mengarahkan Muhammad Fauzi untuk menuangkan air panas ke atas badan ibu dan bapa saudaranya yang sudah tidak lagi bergerak bagi proses membangkitkan mereka.

"Saya tidak berniat untuk menyebabkan kematian ibu dan ayah saudara saya kerana mereka antara yang paling rapat dengan saya dan saling menyayangi. Hasrat saya hanya nak berbuat baik dengan mereka.

"Tiada sesiapa pun yang menghalang perbuatan saya, mahupun ibu dan ayah saudara saya dan saya hanya mengetahui mereka sudah meninggal apabila pihak polis datang kemudian menahan saya," katanya.

Muhammad Fauzi, dalam pembelaannya berkata dia tidak terlibat secara langsung dengan proses rawatan yang dilakukan ke atas ibu dan ayah saudaranya itu.

"Saya tiada niat langsung untuk melakukannya atau pun untuk mendatangkan kecederaan terhadap mereka, saya juga percaya Muhammad Ilyas tidak ada motif untuk melakukannya kerana mangsa tidak menjerit kesakitan atau melawan," katanya.

Anak mangsa berkata beliau tidak berniat membunuh ibu dan bapanya sendiri ataupun untuk mencederakan mereka.

"Siapa yang sanggup membunuh ibu bapa sendiri? Pada keseluruhan masa, saya tidak mempunyai kawalan di atas diri saya dan saya semacam dipukau.

"Tiada pakatan atau konspirasi di antara kami bertiga untuk membunuh atau mendatangkan kecederaan teruk ke atas ibu bapa saya atau kepada sesiapa pun di dalam rumah," kata Muhammad Nizam.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar keterangan saksi pembelaan iaitu pakar Perunding Psikiatari Forensik dari Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak, Rabaiyah Mohd Salleh, yang berkata bahawa tertuduh pertama menghidapi penyakit mental iaitu kecelaruan efektif.

Dalam keterangannya, beliau berkata hasil daripada pemeriksaan perubatan yang dilakukan pada 15 Okt 2008, didapati bahawa Muhammad Ilyas mempunyai sifat dilusi dan yakin yang dia boleh menghidupkan mereka yang sudah mati. "Saya membuat kesimpulan, Mohd Ilyas menghadapi penyakit itu iaitu yakin dan taksub terhadap kepercayaan dapat menghidupkan kembali mangsa dan dalam kejadian itu dia tidak waras dan tidak sedar akibat perbuatannya," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan dua lagi tertuduh tidak menghadapi sebarang penyakit mental seperti Muhammad Ilyas.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah bersambung 15 Januari depan. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan