Anwar Tidak Boleh 'Pancing Maklumat' Sebelum Perbicaraan Kes Liwat

Diterbitkan: Khamis, 24 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seseorang tertuduh yang menghadapi dakwaan jenayah tidak dibenarkan "memancing maklumat" kepunyaan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu pada 6 November ketika membenarkan rayuan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya dokumen dan maklumat lain yang diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut Seksyen 51 dan 51A Kanun Prosedur Jenayah dibekalkan untuk beliau menyediakan pembelaan terhadap tuduhan liwat terhadapnya.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 21 Disember yang diperoleh media hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hasan Lah memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memerintahkan pendakwaan supaya membekalkan dokumen dan bahan berkenaan kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan berkata, ia mentafsirkan dengan tegas Seksyen 51 kanun berkenaan dan mengehadkan kuasa budi bicaranya berhubung permohonan untuk memperoleh dokumen berkenaan di peringkat pra perbicaraan.

"Melainkan apa yang diperuntukkan mengikut Seksyen 51A kanun berkenaan, responden tidak berhak untuk memperoleh atau memeriksa keterangan atau bahan yang berada dalam pemilikan pendakwaan sebelum perbicaraan bermula," kata Hakim Hasan.

Pada 6 November lepas, Hakim Hasan, yang mengetuai panel terdiri daripada Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin dan Datuk Sulaiman Daud, sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah mereka supaya membekalkan dokumen penting kepada Anwar.

Anwar memfailkan notis usul pada 10 Jun tahun ini bagi mendesak pendakwaan supaya menyediakan kepadanya dokumen dan bahan berkenaan termasuk rakaman kenyataan saksi iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia, laporan perubatan dan sampel DNA.

Anwar, yang didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun tahun lepas, menegaskan bahawa dokumen itu penting dan mustahak untuk beliau menyediakan pembelaannya.

Pada 16 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Anwar itu yang dibuat mengikut Seksyen 51 dan 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Hakim Hasan berkata, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memerintahkan pendakwaan supaya membekalkan Anwar dengan dokumen dan bahan berkenaan memandangkan ia berada di luar skop Seksyen 51 kanun berkenaan.

"Kami berpendapat bahawa tujuan permohonan responden untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa diambil dari pondok pengawal di kondominium berkenaan semata-mata untuk memancing maklumat. Responden oleh itu tidak berhak untuk memperoleh rakaman asal CCTV sebelum perbicaraan bermula," katanya.

Mengenai isu berkaitan bahan-bahan yang dipohon oleh Anwar mengikut Seksyen 51A, Hakim Hasan berkata, seksyen itu merujuk kepada dokumen sahaja, oleh itu mahkamah berkenaan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya slaid dan gambar mengenai ujian DNA itu dibekalkan.

Anwar diwakili oleh peguam Karpal Singh dan 11 peguam lagi, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden. Perbicaraan kes liwat itu ditetapkan mulai 25 Januari tahun depan. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan