Tengku Fakhry Tak Boleh Cabar Keputusan Pemangku Raja Peguam

Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tengku Muhammad Fakhry Petra tidak boleh mencabar keputusan kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra iaitu Pemangku Raja Kelantan, yang melucutkannya daripada senarai bakal pewaris takhta, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu semalam.

Peguam Persekutuan Kanan Datin Azizah Nawawi berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengadili isu berkenaan kerana keputusan Pemangku Raja melucutkan keanggotaan Tengku Muhammad daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan, adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.

"Kami menggesa mahkamah ini untuk menolak permohonan mendapatkan kebenaran berasaskan kepada prerogatif Pemangku Raja mengikut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan mengenai pelantikan dan pembatalan anggota Majlis adalah tidak boleh diadili," kata Azizah.

Beliau membantah permohonan bagi semakan penghakiman yang difailkan oleh Tengku Muhammad Fakhry, 31, bagi membatalkan keputusan Tengku Muhammad Faris pada 16 September lepas dan satu deklarasi bahawa pembatalan itu adalah bercanggah dengan Perkara 7 Perlembagaan Kelantan.

Dalam permohanan itu, Tengku Muhammad Fakhry turut memohon perintah daripada mahkamah yang menghendaki Tengku Muhammad Faris untuk mengembalikan keanggotannya dalam majlis dan satu perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima anggota majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Pemangku Raja, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Kelantan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Lima responden lain ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman.

Menurut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan, majlis itu bertanggungjawab untuk menentukan bakal pengganti Sultan dan memastikan sama ada wujud kekosongan ekoran ketiadaan pemerintah negeri lebih dari setahun.

Tengku Muhammad Faris selaku Tengku Mahkota Kelantan, dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan berikutan kegeringan Sulan Kelantan pada 24 Mei lepas.

Dalam penghujahannya semalam, Azizah berkata istilah "Duli Yang Maha Mulia" dalam Perlembagaan Kelantan meliputi Pemangku Raja dan sehubungan itu, Pemangku Raja mempunyai budi bicara mutlak mengenai isu pembatalan pelantikan kepada Majlis mengikut Perkara 7 perlembagaan negeri. "Prerogatif seumpamanya hanya boleh dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia sendiri dan dengan itu tidak boleh diadili," katanya.

Peguam K. Shanmuga, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry berhujah bahawa Pemangku Raja tidak berkuasa penuh memandangkan baginda tidak dilantik Sultan tetapi oleh Majlis Perajaan pada 2001 apabila Sultan gering.

Beliau berkata Pemangku Raja tidak diberi kuasa untuk melaksanakan fungsinya sebagai Sultan bagi melucutkan Tengku Muhammad Fakhry daripada majlis, dan dengan bertindak sedemikian, wujud perampasan kuasa oleh Pemangku Raja.

"Oleh yang demikian, membenarkan Pemangku Raja untuk meminda komposisi majlis dan mengubah pelantikan yang dilakukan Sultan mengizinkan Pemangku Raja untuk mewujudkan tribunal yang baginda sendiri menjadi hakim, dan sedemikian menjadi faktor penentu keupayaan baginda untuk mengambil alih takhta," katanya.

"Pemangku Raja adalah waris yang pertama akan mewarisi takhta Kelantan tetapi pewarisannya itu tidak automatik, jika beliau tidak disahkan, adinda baginda Tengku Bendahara sebagai pewaris takhta kedua adalah layak, dan jika ini tidak dilakukan, maka pemohon Tengku Temenggong adalah waris selanjutnya yang akan mewarisi takhta," katanya.

Shanmuga semasa berhujah bahawa perkara itu boleh diadili, berkata: "Ini merupakan kes baik untuk diperdebatkan kerana Pemangku Raja tidak diberi kuasa untuk membuat keputusan yang dipersoalkan."

Beliau turu membangkitkan isu bahawa jika Pemangku Raja dibenarkan untuk melaksanakan kuasa budi bicara, sama ada baginda dikehendaki untuk membenarkan pewaris membela diri sebelum membuat sebarang keputusan dan alasan keputusan itu diambil.

Dalam kes ini, Shanmuga berkata tiada alasan diberikan oleh responden kepada Tengku Muhammad Fakhry akan alasan pelucutan tugasnya daripada majlis itu.

"Dihujahkan di sini bahawa penentuan sama ada eksekutif telah melaksanakan kuasanya mengikut yang diperuntukkan undang-undang atau tidak, adalah satu perkara yang Mahkamah Tinggi boleh putuskan," kata peguam itu.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan 31 Disember untuk membuat keputusan. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan