Mahkamah Dengar Rayuan SPRM Mengenai Larangan Soal Siasat Luar Waktu Pejabat

Diterbitkan: Khamis, 17 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mendengar rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai satu perintah Mahkamah Tinggi melarangnya mengadakan soal siasat di luar waktu pejabat.

Panel Mahkamah Rayuan terdiri Hakim Datuk Hasan Lah, Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad mendengar hujah daripada Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh yang mewakili SPRM, dan peguam Karpal Singh yang mewakili Anggota Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah, 39, yang menyaman suruhanjaya itu dengan mendakwa penahanannya dan sesi soal jawab selama 16 jam baru-baru ini adalah tidak sah.

Pada 19 November lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohammad Ariff Md Yusof, ketika membenarkan permohonan Tan bagi mendapatkan semakan kehakiman, berkata Seksyen 30 (3) (a) Akta SPRM, tidak memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk menyoal seseorang saksi itu secara "berterusan".

Ekoran perintah mahkamah itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, telah mengeluarkan arahan supaya saksi hanya boleh disoal siasat dalam tempoh waktu kerja dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan