Mahkamah Ketepi Sabitan Bunuh, Dua Penarik Kereta Terlepas Hukuman Gantung

Diterbitkan: Selasa, 8 Disember 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Penantian selama 10 tahun nyata berbaloi bagi dua penarik kereta apabila mereka akhirnya terlepas hukuman gantung dan dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengenepikan hukuman mati yang dihadapi mereka kerana kesalahan membunuh dua pengawal kelab malam pada 1999.

M. Dorai Pandian, 30, dan P. Ragu, 36, dilepaskan daripada pertuduhan itu selepas mahkamah memutuskan adalah tidak wajar untuk mengekalkan sabitan itu dan membenarkan rayuan terakhir mereka.

"Berhubung perayu pertama (Dorai Pandian), kami bersetuju dengan peguam bela bahawa wujud keraguan sama ada perayu pertama memukul si mati dengan batu bata kerana tiada keterangan menunjukkan perbuatan itu.

"Berhubung perayu kedua (Ragu), kami bersetuju dengan peguam bela bahawa wujud isu salah cam dan proses kawad cam tidak dilakukan dengan sempurna dan tidak mematuhi prinsip-prinsip ditetapkan.

"Atas alasan itu, kami membenarkan rayuan ini dan mengenepikan sabitan dan hukuman," kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Hashim Yusof dan Hakim Datuk Md Raus Sharif. Pada 16 Jan, 2006, kedua-dua perayu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Tong Tian Leong, 35, dan Loo Teik Soon, 36, di tempat letak kereta Hotel Sri Pelangi di Segamat, Johor, pada 2.30 pagi, 24 April, 1999.

Mereka dijatuhi hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 17 Sept, tahun lepas.

Hari ini, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Dorai Pandian, berhujah hakim yang mendengar kes itu terkhilaf dalam penghakimannnya bahawa perayu pertama yang memukul kepala Tong dengan batu bata dan menyebabkan kematiannya.

Katanya saksi di tempat kejadian, Normalaziah Malik, yang duduk di tempat duduk belakang kereta, telah memberikan keterangan yang dia nampak perayu pertama memecahkan cermin tingkap kereta si mati dengan batu bata tetapi dia tidak nampak perayu pertama memukul kepala si mati. Peguam Datuk K.Kumaraendran yang mewakili Ragu, berhujah perayu kedua telah disalah cam sebagai pembunuh oleh Normalaziah.

"Saksi memberikan keterangan yang dia nampak perayu kedua datang dari belakang perayu pertama, memegang pisau dan menikam Tong dan Loo beberapa kali.

"Katanya dia berasa takut dan membongkokkan badan, dan katanya pergaduhan itu berlaku dengan pantas, saya berhujah bahawa adalah tidak mungkin bagi saksi mengenal pasti perayu kedua," katanya.

Hakim yang mendengar kes itu juga gagal mengambil kira keadaan persekitaran tempat kejadian yang gelap dan lampu sorot hotel itu dipadamkan pada ketika itu, hujah peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache berkata keterangan dalam kes itu diberikan oleh saksi-saksi yang berwibawa dan hakim yang mendengar kes itu telah memberikan pertimbangan menyeluruh.BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan