Perbicaraan Kes Anak CAP Dituduh Menipu 27 Januari Depan

Diterbitkan: Selasa, 24 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 27 Jan tahun depan bagi perbicaraan kes Mohammed Ali Mohd Idris, anak presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M.Mohamed Idris, yang menghadapi tiga tuduhan menipu melibatkan pembelian rumah di Langkawi 19 tahun lepas.

Hakim Roslan Hamid menetapkan tarikh itu semasa kes disebut di hadapannya hari ini.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 10 November lepas, Mohammed Ali, 52, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan bagi ketigatiga pertuduhan.

Tertuduh, seorang peniaga, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Hago Enterprise Sdn Bhd, Lebuh Bishop, di sini.

Bagi kesalahan pertama Mohammed Ali didakwa menipu Ashfak Ahmad Alarakha antara 17 September dan 6 November 1991, untuk membeli rumah bernombor 30, Taman Mahsuri, Langkawi, sehingga mendorong Ashfak mengeluarkan dua keping cek bernilai RM105,000.

Dia juga dituduh menipu Mohamad Aslam Sher Mohamed antara 15 Ogos 1990 dan 16 Oktober 1992 bagi pembelian rumah di Lot 14, Taman Mahsuri, Langkawi yang mendorong Mohamed aslam mengeluarkan cek dan wang tunai berjumlah RM71,000.

Bagi pertuduhan ketiga Mohammed Ali didakwa menipu Tufail Ahmad Alarakha pada 25 Mac 1992, bagi pembelian rumah dbernombor 28, Taman Mahsuri, Langkawi yang mendorong Tufail membayar secara tunai RM95,000.

Mohammed Ali diwakili peguam Ashok Athimulan dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya G. Jayaprem. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan