Rakyat Malaysia Tak Dibenarkan Diberi Parol

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Seorang daripada dua rakyat Malaysia yang disabitkan kesalahan membunuh pakar bedah terkenal, Victor Chang, perlu menjalani setahun lagi hukuman penjaranya setelah Lembaga Parol New South Wales enggan membenarkan dia dibebaskan lebih awal secara parol.

Phillip Lim Chew Seng, 50, sepatutnya dibebaskan secara parol bulan ini setelah menjalani hukuman penjara 18 tahun tetapi mesyuarat Lembaga Parol hari ini mendapati bahawa demi kepentingan awam, dia tidak wajar dibebaskan buat waktu ini, demikian menurut laporan Australian Associated Press.

Hakim Terry Christie berkata bahawa Lim pasti akan dihantar pulang ke Malaysia setelah dibebaskan.

Katanya parol untuk Lim akan dipertimbangkan pada Ogos atau September tahun depan.

Chang ditembak mati ketika berjalan di pinggir bandar Sydney pada 4 Julai 1991 susulan daripada kegagalan Lim dan Liew Chew Seng memeras ugut beliau.

Lim dikenakan hukuman penjara 24 tahun manakala Liew dipenjara 26 tahun. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan