Penduduk Bukit Gasing Boleh Cabar Perintah Datuk Bandar

Diterbitkan: Jumaat, 20 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebuah syarikat pemaju hari ini gagal untuk menghalang 108 penduduk Bukit Gasing daripada mencabar satu perintah pembangunan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung projek pembangunan lereng bukit di kawasan berkenaan.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menolak rayuan DBKL dengan majoriti 2-1, manakala Hakim K. N. Segara pula menentang.

Dalam keputusan lisannya, Hakim Zaleha berkata selepas meneliti penghujahan daripada kedua-dua pihak, rayuan pemohon ditolak.

DBKL dan pihak pemaju, Gasing Meridian Sdn Bhd (GMSB), mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 April, dalam memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan perintah Datuk Bandar.

GMSB adalah pemaju yang terbabit dalam pembangunan Sanctuary Ridge Kuala Lumpur City sebuah projek pembinaan 68 banglo di tapak seluas 15.5 hektar di Bukit Gasing.

Peguam R. Sivarasa dan Derek Fernandez, yang mewakili penduduk, memberitahu media bahawa penduduk seharusnya mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat memandangkan kemungkinan berlaku runtuhan tanah yang menjejaskan nyawa dan harta benda mereka yang tinggal berhampiran bukit itu.

Fernandez berkata tarikh perbicaraan untuk semakan kehakiman belum ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi berikutan rayuan itu. Romesh Abraham hadir bagi pihak DBKL dan Datuk R. R. Sethu pula bagi pihak GMSB.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, dalam perintah bertarikh 2 Oktober, 2008 yang dikeluarkan kepada GMSB, membenarkan pemaju menjalankan kerjakerja tanah dan subbahagian di kawasan berkenaan.

Dalam permohonan kebenaran itu, penduduk menamakan DBKL dan GMSB sebagai defendan.

Penduduk mendakwa Datuk Bandar gagal mengambil kira bahawa mereka mempunyai hak di bawah undang-undang lazim untuk diberikan notis terlebih dahulu, dan diberikan peluang menyuarakan pendapat dalam proses membuat keputusan perancangan itu.

Mereka berkata Datuk Bandar telah bertindak, bertentangan dengan dasar dan maksud Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan