Bapa Sebabkan Kematian Bayi Dipenjara 20 Tahun

Diterbitkan: Khamis, 19 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Seorang bapa dihukum penjara 20 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kematian bayi perempuannya yang berusia empat bulan dengan mencampak bayi itu ke atas tilam sehingga menyebabkan pendarahan di selaput otak.

Mohamad Nasir Sulaiman, 34, seorang tukang paip didapati bersalah melakukan perbuatan itu di rumahnya di No. 100A, Blok D Mukim 12, Kampung Masjid Sungai Ara, Bayan Lepas pada 9 malam, 7 Mac lepas.

Hakim Rosilah Yop ketika menyampaikan penghakimannya berkata dalam membuat keputusan itu, rayuan tertuduh dan kepentingan awam diambil kira.

Katanya, tertuduh sepatutnya menjaga anaknya dengan kasih sayang dan bukan melakukan penganiayaan terhadapnya.

"Mahkamah mempersoalkan...bapa jenis apa kamu ini Encik Nasir...?" katanya. Rosilah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh tangkap pada 7 Mac lepas.

Bagi pertuduhan mencampak bayinya, Nurul Ain Amirah ke atas tilam hingga menyebabkan pendarahan pada selaput otak dan menyebabkan kematian mangsa, Mohamad Nasir didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Mohamad Nasir juga didakwa melakukan penderaan terhadap anaknya itu dengan memegang bayi itu dalam keadaan tertonggeng iaitu kaki ke atas dan kepala ke bawah sambil berlegar-legar dalam rumah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail manakala Mohamad Nasir diwakili peguam V. Parthipan BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan