Tiga Lelaki Dipenjara 13 Dan 15 Tahun Kerana Sebabkan Kematian Seorang Buruh

Diterbitkan: Selasa, 17 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tiga lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 13 dan 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang buruh, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Su Geok Yiam menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun ke atas Padali Sitia, 25, seorang buruh pasar borong dan memerintahkan M.Veloo, 50, penjual besi buruk serta B.Kaliyapan, 31, pemandu lori, masing-masing menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana menyebabkan kematian V.Baskaran, 43.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan kedai hardware Lot 16, Jalan 1, Selayang Baru, Batu Caves, antara pukul 8.30 malam dan 9.30 malam pada 26 November 2006.

Pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Punca kematian mangsa adalah disebabkan pendarahan di otak akibat hentakan benda tumpul dan keras.

Ketiga-tiga tertuduh sebelum ini dibicarakan atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, selepas tujuh saksi dipanggil memberi keterangan, ketiga-tiga tertuduh menukar pengakuan mereka kepada bersalah selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun yang sama.

Fakta kes menyebut, kejadian berpunca daripada tindakan mangsa mengganggu kakak Kaliyapan, B.Kaliamah beberapa kali dan mangsa turut memberitahu Kaliyapan bahawa dia ingin menjadikan Kaliamah yang juga teman wanita Veloo, sebagai perempuan simpanannya.

Pada hari kejadian, Kaliamah telah mengajak mangsa pergi ke rumah Kaliyapan di Selayang Baru dan ketika sampai di sana, Kaliyapan telah menarik baju mangsa dan menumbuknya beberapa kali menyebabkan mangsa menolak Kaliyapan sehingga jatuh.

Veloo kemudian memegang sebatang besi lalu menghentak kepala mangsa beberapa kali sebelum menarik mangsa ke tingkat bawah rumah dan Kaliyapan kemudian menghentak kepala mangsa menggunakan pasu bunga.

Kaliyapan dan Veloo seterusnya memukul mangsa dengan kaki dan tangan sambil dibantu Padali yang merupakan rakan serta jiran Kaliyapan.

Dalam penghakimannya, Su berkata kepentingan awam merupakan faktor utama dalam menentukan sesuatu hukuman yang perlu dijatuhkan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama serta mengelakkan masyarakat melakukan kesalahan yang serupa.

Beliau berkata walaupun ketiga-tiga tertuduh merupakan pesalah pertama ia bukanlah satu jaminan bagi peringanan hukuman memandangkan mereka telah melakukan kesalahan yang serius iaitu telah menyebabkan satu nyawa melayang.

"Mahkamah mempertimbangkan bahawa mangsa telah mengganggu kakak tertuduh ketiga (Kaliyapan) secara seksual tetapi ia tidak cukup membantu mahkamah untuk menjatuhkan hukuman ringan. Perlu juga diingatkan bahawa Kaliamah yang merupakan kekasih Veloo adalah isteri orang dan ketujuh-tujuh saksi pendakwaan yang beri keterangan sebelum ini nampak kesemua tertuduh menyerang mangsa.

"Sekiranya perbicaraan berjalan sehingga selesai, mahkamah akan menjatuhkan hukuman maksimum ke atas kamu tetapi memandangkan kamu telah mengaku bersalah mahkamah perlu memberi diskaun terhadap hukuman.

Justeru tertuduh pertama (Padali) dihukum penjara 13 tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 27 November 2006, tertuduh kedua (Veloo) dihukum penjara 15 tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 4 Disember 2006 dan tertuduh ketiga (Kaliyapan) dihukum penjara 15 tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 8 Januari 2007," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan