Rayuan Sivarasa Dari PKR Untuk Bertanding Jawatan Majlis Peguam Ditolak

Diterbitkan: Selasa, 17 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang peguam yang memegang jawatan politik tidak boleh bertanding bagi jawatan dalam Majlis Peguam, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini semasa menolak rayuan peguam R. Sivarasa, yang merupakan seorang anggota Parlimen dan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini bagi memastikan Majlis Peguam bebas daripada pengaruh politik sepertimana mengikut ketetapan Seksyen 46 (1) Akta Profesion Undang-undang 1976 yang diluluskan Parlimen, kata Hakim Datuk Gopal Sri Ram dalam penghakiman 35 muka surat.

Sivarasa, yang mengemukakan rayuan terhadap kesahihan undang-undang itu, berhasrat bertanding untuk berkhidmat dalam Majlis Peguam yang merupakan badan pentadbir Badan Peguam Malaysia.

Semua peguam di Malaysia ialah anggota Badan Peguam Malaysia tetapi mereka perlu dipilih untuk berkhidmat dengan Majlis Peguam.

"Sepertimana dikehendaki selama ini, adalah demi kepentingan awam agar badan pentadbir, iaitu Majlis Peguam bebas daripada sebarang pengaruh politik," kata Hakim Sri Ram yang mendengar rayuan Sivarasa bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Beliau berkata peguam bela dan peguam cara yang berkhidmat dalam badan pentadbir perlu bertindak secara profesional, jujur dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.

"Majlis Peguam yang bebas mungkin bertindak secara betul daripada segi moralnya dan mengikut perlembagaan. Ketiadaan pengaruh politik akan menjamin Majlis Peguam yang bebas," katanya dan menurutnya larangan itu adalah munasabah dan mempunyai justifikasi atas alasan moral awam.

Beliau berkata seksyen undang-undang berkenaan, bagaimanapun tidak menghalang Sivarasa dan anggota Badan Peguam Malaysia daripada menghadiri dan bersuara pada mesyuarat agung Majlis itu bagi mengemukakan pandangan bagi tujuan mempengaruhi Majlis itu.

Hakim Sri Ram berkata keputusan itu mungkin berbeza jika undang-undang yang sama melarang mereka daripada mengamalkan undang-undang atau menghadiri mesyuarat agung Majlis Peguam.

Oleh itu, beliau berkata Seksyen 46 (1) tidak mencabul hak Sivarasa untuk berpersatuan, hak kepada kebebasan peribadi dan hak bagi kesaksamaan dan perlindungan yang saksama dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan pada 24 November, 2005, menolak permohonan Sivarasa bagi diisytiharkan yang beliau masih anggota Majlis Peguam walaupun memegang jawatan dalam parti politik.

Pada 18 Julai, 2002, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Sivarasa bagi diisytiharkan yang beliau adalah anggota Majlis Peguam bagi penggal 2001-2002.

Sivarasa menamakan Badan Peguam Malaysia dan kerajaan sebagai responden.

Beliau diwakili peguam Tommy Thomas manakala Badan Peguam Malaysia diwakili Datuk Bastian Piusand dan Peguam Kanan Persekutuan See Mee Chun mewakili kerajaan.

Sivarasa dipilih naib presiden PKR pada 14 Julai, 2001. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan