Suami isteri didakwa miliki wang palsu - Berita Mahkamah | mStar

Suami isteri didakwa miliki wang palsu

Diterbitkan: Isnin, 16 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memiliki wang palsu.

G. Maheswari (isteri), 40, dan SP. Ravindran (suami), 49, didakwa memiliki sebanyak 1,279 keping not 500 dan 95 keping not 1000 wang kertas Rupees India dengan mengetahui atau ada sebab mempercayai wang itu palsu dengan maksud hendak menggunakannya sebagai tulen.

Maheswari, seorang suri rumah dan Ravindran, bekas anggota polis didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama di no 66 blok D, Hakab Peel, Cheras pada 4 Okt lepas, pukul 5.45 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 489(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan peguam Avtar Singh Grewal yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar mereka dibenar ikat jamin kerana keduaduanya mengalami masalah kesihatan.

Beliau berkata Maheswari menghidap penyakit jantung dan suaminya pula adalah pesakit diabetis yang kronik.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membenarkan kedua-duanya dijamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka melapor diri di balai polis Pudu setiap sebulan sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff. BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan