Penulis "Anwar's Link To US Lobbyist" Tidak Amalkan Kewartawanan Yang Bertanggungjawab, Kata Peguam

Diterbitkan: Jumaat, 13 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penulis artikel yang bertajuk "Anwar's Link To US Lobbyist" yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times (NST) pada 2002 tidak mengamalkan "kewartawanan yang bertanggungjawab" memandangkan penulis itu tidak memeriksa ketepatan kandungan artikel itu, Mahkamah Tinggi diberitahu semalam.

Peguam Karpal Singh yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM100 juta itu berkata berdasarkan keterangan penulis berkenaan, Datin Rose Ismail semalam, adalah jelas yang penulis itu tidak mengambil langkah untuk mengesahkan kebenaran dakwaan yang terkandung dalam artikel itu.

Beliau berkata demikian semasa berhujah dalam kes saman Anwar yang difailkan pada 2 Mac 2002 terhadap NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulan Tan Sri Abdullah Ahmad kerana Anwar mendakwa artikel itu bermaksud untuk menjatuhkannya.

Anwar menuntut antara lain, RM100 juta bagi ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel itu menyentuh mengenai dakwaan hubungan Anwar dengan pelobi Washington DC, hubungan kewangan antara beliau dan organisasi dikenali sebagai Asia Pacific Policy Centre (APPC) dan tuduhan dalam akuan bersumpah oleh bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid.

Para defendan dalam pernyataan pembelaan mereka antara lain mendakwa mereka mempunyai hak keistimewaan.

Karpal berkata Rose yang ketika ini adalah pengarah urusan sebuah syarikat perunding media, sebelum ini berkata bahawa beliau tidak menemuramah Anwar kerana Anwar berada di penjara, dan beliau menulis artikel itu berdasarkan kepada pelbagai artikel sebelum ini sebagai sumbernya.

Peguam pembela Nad Segaram pula menjawab bahawa artikel itu bersifat neutral memandangkan penulis itu hanya mengambil kandungan daripada pelbagai sumber, dan artikel itu bukan merujuk kepada pandangannya sendiri.

Nad berkata sebelum artikel itu ditulis pada 2002, tuduhan-tuduhan dalam artikel itu sudah diterbitkan dengan meluas di beberapa suratkhabar dan laman-laman web.

"Malah Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Perhimpunan agung Umno pada Jun 1999 membuat kenyataan terhadap Anwar mengenai isu berkenaan," katanya.

Nad berkata artikel itu ditulis dalam keadaan biasa semasa defendan bertugas memandangkan ia berkaitan dengan perkara yang diambil berat oleh orang ramai, di samping membabitkan kepentingan awam, dan penerbitan artikel itu berada dalam suasana keadaan yang melayakkan.

Pesuruhjaya Kehakiman Harmindar Singh Dhaliwal menetapkan 25 November ini sebagai tarikh untuk memberikan keputusan. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan