Mahkamah sahkan kewargaan dua beradik

Diterbitkan: Khamis, 12 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penantian lebih 30 tahun seorang bapa yang ingin memastikan dua anaknya adalah warganegara Malaysia akhirnya berbaloi apabila Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonannya hari ini.

Datuk Lau Bee Lan yang membuat keputusan itu dalam kamarnya, mengesahkan dua anak M. Ramanoojom, 79, adalah warganegara mengikut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Lau juga memerintahkan kedua-duanya mengemukakan permohonan rasmi untuk kewarganegaraan dan kad pengenalan Mykad ke kedutaan Malaysia di India dalam tempoh tiga bulan.

Dalam permohonan saman pemula yang dikemukakan Ramanoojom pada Sept 2007, anak lelakinya, Thirupathi, 34, dan anak perempuannya, Meena, 31, menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Mengikut afidavit, Ramanoojom yang merupakan warganegara Malaysia mendakwa beliau telah berkahwin dengan N.Pushpam (warga India) di India pada 13 Sept 1960 dan kedua-dua anaknya dilahirkan di negara tersebut.

Beliau mendakwa telah membuat permohonan untuk membawa pulang anak-anak mereka ke Malaysia bermula 1978 menerusi pejabat Penolong Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Madras tetapi gagal hinggalah isterinya meninggal dunia pada 2005.

Ramanoojom yang diwakili peguam M. Manoharan ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau sangat gembira dengan keputusan ini dan bersyukur kerana hasrat itu tercapai sebelum beliau pula meninggal dunia.

Beliau berkata keduadua anaknya kini berada di India dan mereka berhasrat untuk pulang ke tanah air, Malaysia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan