Empat Buruh Indonesia Dihukum Penjara Sebabkan Kematian Majikan - Berita Mahkamah | mStar

Empat Buruh Indonesia Dihukum Penjara Sebabkan Kematian Majikan

Diterbitkan: Rabu, 11 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Bagi kesalahan menyebabkan kematian majikan, seorang buruh ladang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun manakala tiga rakannya, masing-masing dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini Rabu.

Sementara seorang lagi rakan mereka dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan menyebabkan kematian majikan mereka Mohd Yusuf Ismail, 48, di Ladang Agro Plantation Cerul, Kemaman, kira-kira pukul 6 petang, 21 Januari 2007.

Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Zaidi Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas meminda pertuduhan terhadap tertuduh pertama kepada menyebabkan kematian manakala tiga lagi menyebabkan kecederaan.

Ahmad Zaidi dalam penghakimannya berkata setelah meneliti fakta kes dan berdasarkan keterangan semua saksi, pihak pendakwaan telah gagal mensabitkan kesemua tertuduh yang berasal dari Jawa dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tertuduh pertama Solihun Hamdani dihukum penjara lapan tahun mengikut Seksyen 304 (b) kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Agus Suristiawan, 23, (tertuduh kedua), Asmali Asmadin 29, (tertuduh keempat) dan Warsum Sudinto, 29, (tertuduh kelima) masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun mengikut Seksyen 324 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada peruntukan itu.

Ahmad Zaidi berkata mahkamah memutuskan untuk melepaskan tertuduh ketiga, Slamet Riyadi Tohirin, 20, kerana pihak pendakwaan gagal mengaitkan dia dengan perbuatan memukul majikan mereka yang merupakan kontraktor ladang.

Bagi Solihun pula, katanya, lebih sesuai disabitkan dengan pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304(b) kerana berdasarkan keterangan pakar patologi, kematian mangsa adalah disebabkan pukulan dengan batu oleh tertuduh pertama itu di bahagian kepala, setelah dia terlebih dahulu ditumbuk oleh mangsa.

"Perbuatan itu adalah spontan iaitu tertuduh pertama dipukul terlebih dahulu dan berdasarkan keterangan saksi, mangsa juga dilihat cuba mencapai batu untuk memukul Solihun. Kalau tertuduh ada niat membunuh, banyak lagi senjata tajam ada di sekitar kawasan itu seperti cangkul, parang, besi tajam boleh digunakannya berbanding batu," katanya.

Sementara itu, bagi tertuduh kedua, keempat dan kelima pula, keterangan pakar patologi juga menunjukkan kecederaan dialami mangsa telah dilakukan oleh beberapa orang, namun ia dikategorikan sebagai kecederaan biasa sahaja dan lebih sesuai didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, katanya.

Katanya mahkamah turut mengambil kira keadaan tertuduh yang mengalami kepayahan kerana telah tidak diberi makan nasi selama dua minggu oleh mangsa dan kelima-lima mereka hanya bergantung hidup dengan makan umbut kelapa sawit.

Mangsa juga dikatakan tidak membayar gaji selama tempoh itu seperti yang dijanjikan yang menyebabkan tertuduh mengadakan perjumpaan dengannya pada hari kejadian untuk berbincang berhubung hal berkenaan.

"Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan ada niat bersama di kalangan tertuduh untuk membunuh mangsa, kerana mereka hanya berjumpa dengan mangsa untuk merayu diberikan gaji dan makanan. Bagaimanapun, apa yang berlaku tidak dapat mengubah fakta bahawa satu nyawa telah melayang," katanya.

Beliau memerintahkan keempat-empat tertuduh menjalani hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh tangkap pada 28 Januari, 2007.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Fathi 'Aziz Abu Bakar manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad. BERNAMA

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan