Bicara 21 Peserta Perhimpunan Haram Ditangguh 2 Disember

Diterbitkan: Selasa, 10 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes 21 individu termasuk tiga wakil rakyat DAP yang didakwa terlibat dalam perhimpunan haram bagi membolehkan beberapa tertuduh melantik peguam.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan semula kes. Kes itu sebelum ini ditetapkan untuk perbicaraan mulai hari ini sehingga Khamis.

Balqis Aini menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo yang sebelum ini mewakili kesemua tertuduh, untuk menarik diri daripada mewakili 18 daripada tertuduh itu.

Gobind dalam permohonannya berkata beliau hanya akan mewakili tiga wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kim Wee, 37, Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, 51 dan Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Kampung Tunku, Lau Weng San, 31.

Tiga wakil rakyat itu serta 18 individu yang lain didakwa menyertai perhimpunan haram di Laman MBPJ di hadapan Bangunan Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ), Jalan Yong Shook Lin, di sini, antara pukul 9.50 malam dan 10.10 malam 9 Oktober 2008 lepas.

Mereka juga didakwa mengingkari perintah bersurai yang diberikan oleh seorang pegawai polis, Supt Mohamad Sulong, pada masa dan tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) dan Seksyen 27(4) Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 27(8) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara maksimum setahun bagi setiap pertuduhan.

Dalam pada itu, seorang peguam bela, Francis Pereira yang mewakili Father Poulino Francesco Miranda, seorang daripada tertuduh itu, memberitahu pihaknya telah mengemukakan afidavit dan permohonan pada pagi ini supaya hakim yang mendengar kes menarik diri.

Balqis Aini menetapkan hari yang sama untuk mendengar permohonan itu.

Mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga tertuduh yang lain iaitu K. Raman, Mohd Fasya Mohd Tajuddin dan Syed Ahmad Syed Hassan selepas mereka gagal menghadirkan diri pada hari ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan