Pegawai Khas Ronnie Liu didakwa kemukakan invois palsu dan pecah amanah

Diterbitkan: Selasa, 3 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wong Chun How (gambar), Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu, hari ini dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh mengemukakan borang peruntukan dan invois mengandungi butiran palsu serta melakukan pecah amanah bernilai RM7,500.
Wong Chun How (gambar), Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu, hari ini dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh mengemukakan borang peruntukan dan invois mengandungi butiran palsu serta melakukan pecah amanah bernilai RM7,500.

SHAH ALAM: Wong Chun How, Pegawai Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu, hari ini dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh mengemukakan borang peruntukan dan invois mengandungi butiran palsu serta melakukan pecah amanah bernilai RM7,500.

Bagaimanapun, Wong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Wong didakwa mengemukakan borang peruntukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek kepada pembantu tadbir kewangan Pejabat Derah Sepang, K.Mohana Sunthari dan invois yang mempunyai butiran palsu bagi pembekalan 2,500 unit bendera kereta bernilai RM2,500 sedangkan bekalan itu tidak dibuat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Pembangunan Masyarakat, Pejabat Daerah Sepang pada 10 September tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.

Jika didapati bersalah tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Wong juga didakwa melakukan pecah amanah melibatkan sekeping cek bernilai RM5,000 iaitu wang peruntukan menganjurkan perjumpaan ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung kawasan DUN Sungai Pelek di Pejabat Daerah Sepang pada 19 Februari lepas.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Wong juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan alternatif menyalahgunakan cek itu untuk melakukan perkara yang sama di tempat dan tarikh yang serupa.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 403 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Josiendra Abu Senin mencadangkan ikat jamin RM16,000 bagi semua pertuduhan dengan alasan kesalahan itu serius kerana melibatkan wang rakyat.

Peguam Salim Bashir, yang mewakili Wong, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan memberi alasan anak guamnya bekerja dengan Liu tanpa gaji dan sebagai Ahli Majlis Sepang, dia hanya menerima elaun RM750 sebulan.

"Anak guam saya juga sudah berumur dan kesihatannya juga tidak berapa baik serta sering dimasukkan ke hospital. Beliau juga memberi kerjasama baik kepada SPRM semasa kes itu dalam siasatan," katanya.

Syafeera kemudian membenarkan Wong dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan perbicaraan pada 12 hingga 16 April tahun depan bagi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997, dan 29 Mac hingga 2 April tahun depan, bagi tuduhan pecah amanah.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 8, Wong mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan cek bernilai RM2,500 iaitu wang peruntukan menganjurkan program gotong-royong dan ramah-mesra Kampung Baru Lanjut dalam kawasan DUN Sungai Pelek di Pejabat Daerah Sepang antara 30 Julai dan 16 September tahun lepas.

Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif menyalahgunakan cek itu untuk melakukan perkara yang sama di tempat dan tarikh yang serupa.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Wong dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 8 Mac tahun depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan