Ahmad Najib gagal dalam cubaan untuk semak keputusan hukuman mati

Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ahmad Najib Aris, yang dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan membunuh penganalisis teknologi maklumat Canny Ong Lay Kian enam tahun lepas, akan kekal meringkuk di penjara, selepas kehabisan saluran untuk mengetepikan hukuman matinya itu.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Ahmad Najib bagi kebenaran untuk menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengekalkan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama-sama dua Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk James Foong dan Datuk Heliliah Mohd Yusof sebulat suara menolak permohonan Ahmad Najib atas alasan mengikut fakta keadaan kes itu, tidak wujud isu pemula untuk membenarkan permohonan itu mengikut Peraturan 137.

Bekas penyelia pencuci kabin kapal terbang itu yang kini berumur 33 tahun, memohon Mahkamah Persekutuan melaksanakan bidang kuasanya mengikut Peraturan 137, Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 untuk menyemak keputusannya sebelum ini yang dibuat pada 27 Mac, 2009, mendakwa wujud ketidakadilan dalam penghakiman itu.

Ahmad Najib, dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Feb, 2005 atas kesalahan membunuh Ong, di Batu 7, Jalan Klang Lama antara 1 pagi dan 5 pagi pada 14 Jun 2003.

Dia juga dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi yang sama selepas dia didapati bersalah merogol Ong pada masa, hari dan tempat yang sama.

Mayat Ong dalam keadaan hangus ditemui tertanam di bawah dua tayar berisi simen dalam lubang berukuran 1x1x1 meter dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada dan kakinya terjuntai keluar dari lubang itu.

Ahmad Najib kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan mahkamah itu menolak rayuannya itu pada 3 Mei, 2007.

Cubaannya untuk mengubah keputusan itu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 27 Mac, 2009. Rayuan itu didengar oleh panel lima hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan para Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk Seri S. Augustine Paul, Datuk Hashim Yusoff dan Zulkefli Ahmad Makinudin.

Perbicaraan kes itu berlangsung selama 46 hari di Mahkamah Tinggi bermula pada 15 Sept, 2003 dan berakhir pada 20 Mei, 2004, apabila pihak pendakwaan menutup kesnya. Hakim memerintahkan Ahmad Najib untuk membela diri.

Bagaimanapun, Ahmad Najib membuat kejutan apabila memilih untuk berdiam diri.

Menurut undang-undang, apabila tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan kecuali mensabitkan tertuduh.

Pada permulaan prosiding hari ini, peguam yang mewakili Ahmad Najib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata panel sebelum ini telah terkhilaf daripada segi undang-undang apabila menerima laporan kimia dua DNA sebagai keterangan sahih mengikut Seksyen 90(A) Akta Keterangan.

DNA itu merujuk kepada kesan darah Ong pada seluar yang ditemui di rumah Ahmad Najib dan DNA air mani Ahmad Najib dalam vagina Ong.

Mohamed Haniff berkata komputer yang digunakan untuk mencetak laporan kimia yang dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan tidak dibuktikan sama ada berfungsi dengan baik.

Katanya laporan kimia mengenai kedua-dua DNA itu merupakan keterangan penting untuk menunjukkan sama ada Ahmad Najib telah melakukan jenayah itu.

Timbalan Pendakwa Raya C.K.Wong dalam hujahannya berkata keputusan panel sebelum ini adalah betul dan permohonan untuk kebenaran menyemak itu hanya terpakai bagi kes membabitkan ketidakadilan daripada segi prosedur yang luar biasa.

"Malahan dalam kes ini, ahli kimia, yang menyediakan laporan kimia itu, telah memberikan keterangan pada perbicaraan," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan