80 peratus kemungkinan homisid dalam kes Teoh, kata ahli patologi

Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang ahli patologi terkenal Thai Dr Porntip Rojanasunan memberitahu mahkamah koroner di sini hari ini bahawa terdapat 80 peratus kemungkinan homisid dan 20 peratus kemungkinan bunuh diri dalam kes kematian pembantu politik Teoh Beng Hock.

Ketika memberi keterangan dalam bahasa Inggeris, wanita itu berkata Teoh mengalami beberapa kecederaan sebelum jatuh dan mati selepas disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) Selangor.

Beliau berkata kecederaan ke atas Teoh termasuk tusukan di bahagian dubur, kesan melelas di paha dan lebam cekek di leher, dan ini tidak sejajar dengan keadaan jatuh dari tempat tinggi.

Pakar berusia 54 tahun itu, yang diminta oleh kerajaan Selangor untuk memberi keterangan mengenai sebab kematian Teoh, berkata hasil siasatannya berdasarkan laporan autopsi Dr Khairul Azman dan Dr Prashant Naresh Samberkar serta gambar-gambar post-mortem yang dibekalkan kepadanya.

Teoh, pembantu politik kepada anggota Exco Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati pada 16 Julai di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan dalam kes mengenai dakwaan salahguna peruntukan negeri di pejabat MACC Selangor yang terletak di bangunan yang sama.

Dr Porntip kini ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat, Kementerian Kehakiman, Thailand, dan mempunyai 27 tahun pengalaman dalam bidang sains forensik.

Pakar Thai itu tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi. Beliau turut mengadakan tayangan slaid bagi membantu mahkamah memahami keterangannya.

"Dari gambar post-mortem, saya dapati ada kesan lebam di bahagian kanan leher, yang kami (pakar patologi) panggil 'handle bruise', dan kecederaan ini selaras dengan kecederaan disebabkan cekekan," kata Dr Porntip yang telah mengendali lebih 10,000 post-mortem.

Beliau berkata kecederaan itu tidak dinyatakan dalam laporan autopsi disediakan oleh Dr Khairul Azman dan Dr Prashant, yang telah diberikan kepadanya untuk diperiksa.

"Saya juga dapati kecederaan tusukan di bahagian dubur yang boleh disebabkan perbuatan memasukkan objek dalam bahagian berkenaan. Saya tidak pernah melihat kecederaan seumpama itu dalam kes jatuh dari tempat tinggi," kata beliau, sambil menunjuk kepada gambar-gambar post-mortem yang dipaparkan pada slaid.

Beliau berkata beliau juga mendapati kesan melelas di paha bahagian atas Teoh yang mungkin disebabkan disebat.

"Satu lagi kecederaan yang saya temui ialah keretakan tempurung kepala, yang mungkin disebabkan oleh hentakan tumpul yang tepat kepada tempurung kepala sebelum jatuh," kata Dr Porntip, saksi ke-30 di inkues itu.

Beliau berkata kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri bila ia jatuh dari tingkat lima, berdasarkan tiadanya kecederaan reaksi pada badan, dan menambah luka-luka kelihatan seperti kecederaan sebelum jatuh, dan kecederaan dada yang teruk adalah akibat impak primari di lantai.

Ditanya oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi pihak kerajaan Selangor, tentang kes melelas di bahagian bawah kasut Teoh, pakar itu berkata: "Kelihatan seperti badannya telah diheret.

"Dalam kes-kes jatuh biasa dari tempat tinggi, kasut tidak meninggalkan kesan melelas seperti ini," jelas beliau.

Ditanya oleh koroner Azmil Muntapha Abas sama ada permukaan lantai mungkin menyebabkan kesan heretan, Dr Porntip menjawab: "Permukaan keras dan kasar".

"Bagaimanapun, pasukan forensik saya tidak menemui sesuatu yang boleh menyebabkan kesan ini bila mereka memeriksa tingkat 14 (pejabat MACC) pada kali terakhir," katanya.

Pendengaran diteruskan pada sebelah petang. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan