12 penunjuk perasaan insiden kepala lembu dibicara bersama

Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua belas penunjuk perasaan yang terlibat dalam insiden memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 28 Ogos lepas, akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.

Bagaimanapun tarikh perbicaraan kes itu akan ditetapkan pada sebutan semula kes itu 8 Dis depan.

Terdahulu Hakim M.Gunalan membenarkan permohonan Ketua Unit Pendakwaan Selangor Timbalan Pendakwa Raya Roslan Abu Bakar agar kes itu dibicarakan bersama.

Mahkamah juga memerintahkan segala dokumen berkaitan diserahkan pada tarikh sebutan akan datang.

Mereka yang akan dibicarakan ialah Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, dan Mohd Hilmi Ni, 40.

Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Kesemua perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan menghasut, yang mana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu.

Mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut beragama Hindu dengan melakukan kesalahan terbabit pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ahmad Mahayuddin dan Ibrahim merupakan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23 di sini, yang mengetuai bantahan terhadap cadangan kerajaan Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 di sini ke kawasan berkenaan.

Mereka termasuk enam lagi tertuduh Jainuddin @ Zainuddin Md Yusuff, 67, Mohd Jurit Ramli, 39, Mohamad Nordin Zakaria, 46, Jamil Mohamad Isa, 40, Rahimuddin Md Harun, 39, dan Azhari Shaari, 39, juga didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 2.25 petang, 28 Ogos lalu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAs) di sini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan