Tahanan ketua kongsi gelap tidak sah

Diterbitkan: Jumaat, 16 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memutuskan penahanan ketua penjenayah "kongsi gelap" di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) untuk dakwaan aktiviti gangsterisme, adalah tidak sah.

Tiga panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Gopal Sri Ram membenarkan rayuan S.K. Tangakaliswaran a/l Krishnan dan memerintahkan dia dibebaskan.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah hari ini bersifat akademik kerana Tangakaliswaran telah dibebaskan 9 Sept lepas, selepas menjalani tahanan selama dua tahun, iaitu tujuh hari selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya.

Berikutan pembebasannya, Tangakaliswaran telah diletakkan di bawah perintah kediaman terhad di Kelantan selama setahun.

Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah terhadap Tangakaliswaran, 45, yang merupakan ketua kumpulan "Hong Hong San" di Ulu Tiram dan Masai, Johor, ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam kerana didakwa aktif melakukan aktiviti jenayah seperti pergaduhan, peras ugut, rampasan, pemberi pinjaman wang haram, mengutip "wang perlindungan", mengedar dadah dan membeli barang-barang curi.

Penahanannya berkuatkuasa dari 17 Nov 2008. Tangakaliswaran mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas gagal dalam permohonan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, untuk pembebasannya.

Sri Ram dalam penghakimannya setebal lapan muka surat berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila tidak mengeluarkan writ habeas corpus terhadap Tangakaliswaran.

Beliau berkata berdasarkan permohonan writ habeas corpus, beban membuktikan penahanan itu adalah sah terletak di bawah kuasa polis.

Dalam kes ini, Sri Ram berkata responden Kementerian Dalam Negeri, "Penguasa Kanan Pusat Pemulihan Simpang Renggam" dan Ketua Polis Negara gagal untuk memenuhi peruntukan perlembagaan dan peruntukan berkanun.

Beliau berkata responden tidak menunjukkan cadangan Lembaga Penasihat untuk permohonan Tangakaliswaran, telah dibuat kepada Yang diPertuan Agong dalam masa tiga bulan sebagaimana peruntukan dalam Perkara 151 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 6 (1) Ordinan Darurat.

Tangakaliswaran mengemukakan permohonan kepada Lembaga Penasihat selepas dia menerima perintah tahanan.

Sri Ram memutuskan terdapat percanggahan di dalam afidavit Setiausaha Lembaga Penasihat dan Kementerian Dalam Negeri sama ada lembaga tersebut telah mengemukakan cadangan kepada Yang diPertuan Agong dan juga terdapat perbezaan pada tarikh penyerahan cadangan itu.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu dan Abdul Shukor Ahmad mewakili Tangakaliswaran manakala responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Amir Nasaruddin. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan