Kematian Teoh bukan tanggungjawab SPRM

Diterbitkan: Khamis, 15 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor memberitahu prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock bahawa SPRM tidak bertanggungjawab terhadap kematiannya kerana Teoh bukan lagi berada di bawah kawalan agensi itu.

Hishamuddin Hashim dalam keterangannya berkata Teoh telahpun dibenarkan pulang ke rumah selepas selesai memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 Plaza Masalam di sini sebelum ditemui mati di tingkat 5 bangunan yang sama pada 16 Julai lepas.

"Kematian berlaku di luar pejabat SPRM dan kita pun tak tahu secara terperinci tentang punca kematiannya, malah kita telahpun membenarkan Teoh pulang selepas dia selesai memberi keterangan.

"Oleh itu pada pandangan saya, kematian Teoh bukanlah di bawah kawalan SPRM Selangor. Jika ia (kematian itu) berlaku di pejabat SPRM, saya sendiri yang akan membuat laporan polis," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-27 dalam inkues itu yang masuk hari ke-25 semalam.

Teoh, setiausaha politik kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas memberi keterangan kepada SPRM Selangor sebagai saksi dalam siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri itu.

Hishamuddin, yang berkata beliau berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk menghadiri mesyuarat pada hari kejadian memberitahu mahkamah, beliau telah dihubungi oleh pegawai penyiasat, Mohd Anuar Ismail, pada 2 petang untuk memaklumkan mengenai kematian Teoh.

"Saya telah mengarahkan Mohd Anuar dan pemangku penolong pesuruhjaya Khairul Ilham Hamzah supaya menemui saya di ibupejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi penjelasan berhubung kejadian ini.

"Bagaimanapun kemudian saya mengarahkan mereka berpatah balik ke pejabat SPRM Selangor dan berjumpa saya di sana dan supaya mereka memberikan kerjasama kepada pihak polis," kata Hishamuddin yang juga mengetuai siasatan penyelewengan tuntutan Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor.nya.

Beliau mengakui telah mengarahkan pegawainya itu supaya tidak membuat laporan polis berhubung kematian Teoh dengan alasan kejadian itu berlaku di luar kawalan SPRM.

Hishamuddin berkata beliau tidak melihat sendiri mayat Teoh kerana merasakan tidak perlu baginya untuk berbuat demikian.

Beliau juga mengakui tidak menyoal semua pegawai dan anggota SPRM terlibat bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung insiden itu, sebaliknya berkata segala maklumat mengenai punca kematian Teoh hanya diperoleh daripada Mohd Anuar dan Khairul Ilham.

Kepada soalan Gobind Singh Deo, peguam yang mewakili keluarga Teoh, bahawa beliau tidak mengambil berat untuk menemubual semua pegawai untuk menyiasat perkara itu kerana beliau tahu kematian Teoh disebabkan oleh pegawai-pegawai SPRM, saksi itu menjawab : "Tidak setuju."

Terdahulu Hishamuddin berkata bahawa pada malam 15 Julai, beliau tidak melihat Teoh berada di pejabat SPRM dan tidak mengetahui apa sebenarnya yang telah terjadi kepadanya.

Beliau mengakui tidak mempunyai pengetahuan peribadi jika sebarang bentuk kekerasan atau paksaan digunakan terhadap Teoh sepanjang saksi itu berada di pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Khairul Ilham dalam keterangannya semalam pula berkata bahawa pada pukul 8 pagi 16 Julai, Mohd Anuar telah menemuinya di pejabat SPRM Selangor dan memberitahu bahawa beg serta telefon bimbit Teoh masih berada di pejabat itu.

"Kami buat rondaan dalam pejabat SPRM untuk mencari Teoh tetapi tidak jumpa," katanya.

Khairul Ilham berkata beliau telah dimaklumkan mengenai kematian Teoh oleh Mohd Anuar pada 2 petang hari kejadian.

"Saya jadi 'blank' dan panik, tidak tahu apa yang perlu dilakukan," katanya saksi itu sambil menjelaskan bahawa itulah kali pertama beliau berdepan situasi di mana seorang saksi hilang dari pejabat dan kemudian ditemui mati di luar pejabat SPRM.

Khairul Ilham juga menafikan penglibatan pegawai SPRM dalam kematian Teoh dan menegaskan pihak SPRM tidak pernah merahsiakan sebarang maklumat berhubung kejadian itu daripada pengetahuan polis mahupun mahkamah.

Prosiding di hadapan koroner Azmil Muntapha Abas disambung pada Jumaat. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan