Mahkamah arah sampel Keguan diserahkan kepada PPUM

Diterbitkan: Isnin, 12 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan sampel yang dirampas daripada pakar patalogi forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berhubung kes suspek curi kereta yang telah meninggal dunia, A Kugan, diserahkan semula kepada hospital itu.

Majistret Ho Kwong Chin menetapkan keputusan itu setelah mendengar hujahan daripada peguam yang mewakili pemohon iaitu ibu Kugan, N. Surendran dan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid yang mewakili pihak polis.

"Setelah mendengar segala hujahan lisan dari keduadua pihak, mahkamah memerintahkan bahawa spesimen dan barang yang dirampas melalui waran tangkap hendaklah dipulangkan kepada pihak PPUM dengan serta merta," kata Ho.

Surendran yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, mereka memohon spesimen berkenaan dihantar ke Australia bagi membolehkan ujian Toksikologi dijalankan untuk memastikan sama ada Kugan, 22, diberikan sebarang suntikan sebelum dia dijumpai mati di Balai Polis USJ, pada 20 Januari.

Pada Jumaat lalu, Surendran memberitahu mahkamah bahawa ibu Kugan, N.Indra, membuat permohonan untuk mendapatkan sampelsampel itu bagi membolehkan pakar patologi di PPUM menyempurnakan laporan bedah siasat kedua terhadap mayat Kugan setelah bedah siasat pertama dibuat di Hospital Serdang.

Kugan ditahan polis pada 15 Jan tahun ini atas dakwaan terlibat dalam kes curi kereta tetapi meninggal dunia beberapa hari kemudian semasa dalam tahanan polis.

Pada 1 Oktober, seorang anggota polis dari Balai Polis Subang USJ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan mengakibatkan kecederaan teruk terhadap Kugan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan