Culik dan bunuh Ho Ping: Wanita rakyat China terlepas hukuman gantung

Diterbitkan: Isnin, 12 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang wanita warga China hari ini terlepas dari hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini membebaskannya daripada tuduhan membunuh budak lelaki berumur tujuh tahun yang dicoleknya di Sungai Manjung, Perak tiga tahun lepas.

Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya kerana kesalahan menculik itu.

Mayat mangsa ditemui dalam sebuah beg pakaian di Sungai Manjung, Perak pada 21 Mei 2006.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membuat keputusan itu setelah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan culik terhadap tertuduh, Su Qiaomei, 38, melampaui keraguan munasabah. Hakim sebaliknya mendapati wujud keraguan munasabah terhadap dakwaan bunuh ke atasnya. Beliau berkata berdasarkan fakta kes dan keterangan saksi, tidak dinafikan bahawa peranan utama dalam kes itu dimainkan oleh seorang lagi tertuduh yang telah meninggal dunia, Kee Lian Kok sementara tertuduh memegang peranan kedua.

"Seperti yang dikatakan oleh pihak pendakwaan, ibu bapa mangsa tidak boleh mendapatkan mangsa kembali kerana mangsa telah meninggal dunia dan tertuduh juga bernasib baik kerana Seksyen 3 Akta Culik 1961 memperuntukkan hukuman alternatif iaitu penjara seumur hidup. "Oleh itu, setelah teliti faktor kepentingan awam dan mitigasi tertuduh bahawa dia adalah penanggung tunggal ibu bapa dan dua anaknya yang masih bersekolah di China, mahkamah berpendapat bahawa hukuman yang sesuai ke atas tertuduh ialah penjara seumur hidup," katanya.

Su yang berasal dari Fujian, China, sebelum ini dibicarakan bersama Kee yang merupakan abang ipar Ho Ping atas tuduhan membunuh Ho Ping di Ladang Changkat Meranti, Kampung Baru Manjung, Perak antara pukul 2 dan 3 pagi pada 19 Mei 2006.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa menculik Ho Ping bagi tujuan mendapatkan wang tebusan RM500,000 di No: 91, Jalan SS/4A, Subang Jaya dekat sini, kira-kira pukul 7.30 malam pada 18 Mei 2006.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 (Semakan 1989) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika tidak dihukum mati. Kee bagaimanapun meninggal dunia pada 18 Mei 2008 dipercayai membunuh diri, di Penjara Sungai Buloh. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan