Mahkamah Majistret putuskan isu sampel Kugan Isnin depan

Diterbitkan: Jumaat, 9 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini menetapkan Isnin depan untuk membuat keputusan sama ada sampel yang dirampas daripada pakar patologi forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berhubung kes suspek curi kereta yang telah meninggal dunia, A. Kugan, diserahkan semula kepada hospital itu atau pun disimpan oleh pihak polis.

Majistret Ho Kwong Chin menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan daripada peguam pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili pihak polis.

Peguam N. Surendran memberitahu mahkamah bahawa ibu Kugan, N.Indra, membuat permohonan untuk mendapatkan sampel-sampel itu bagi membolehkan pakar patologi di PPUM menyempurnakan laporan bedah siasat kedua terhadap mayat Kugan setelah bedah siasat pertama dibuat di Hospital Serdang.

Beliau berkata pakar itu juga memerlukan sampel-sampel itu untuk menghantarnya ke sebuah pusat perubatan di Australia untuk membuat ujian toksikologi bagi memastikan sama ada Kugan diberikan sebarang suntikan sebelum dia dijumpai mati di Balai Polis USJ, pada 16 Jun.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memberitahu mahkamah bahawa sampel-sampel itu merupakan sebahagian daripada barang bukti yang akan dikemukakan semasa perbicaraan di Mahkamah Seksyen nanti.

Beliau berkata permohonan untuk mendapatkan semula sampelsampel itu seharusnya dibuat oleh pihak PPUM dan bukan Indra, lagipun tidak ada wakil PPUM di mahkamah untuk memberikan jaminan sekiranya sampel-sampel itu diserahkan kepada PPUM ia akan berada dalam keadaan selamat.

"Pihak polis mempunyai tanggungjawab untuk memastikan rangkaian keterangan tidak terganggu dan seterusnya menjejaskan kes pendakwaan nanti," kata Azlina.

Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan polis mengemukakan sampel DNA dan barangan kes yang dirampas di Mahkamah Majistret hari ini dan memutuskan waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret pada 6 April lepas adalah sah dan betul, serta menolak permohonan Indra untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret itu.

Kugan, 22, ditahan polis pada 15 Jan tahun ini atas dakwaan terlibat dalam kes curi kereta tetapi meninggal dunia sehari kemudian semasa dalam tahanan polis.

Pada 1 Okt lepas, seorang anggota polis dari Balai Polis Subang USJ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan mengakibatkan kecederaan parah terhadap Kugan. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 12:59 PM

Hafiz Tak Mengaku Saya Isteri - Joy Revfa

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan