Bekas CEO KESAS bebas dua daripada tiga tuduhan rasuah

Diterbitkan: Selasa, 6 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat konsesi lebuh raya bertol KESAS Sdn Bhd, Ahmad Kamaruzaman Abdullah, daripada dua tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM237,000 berhubung pelantikan juru perunding kepada syarikat itu sembilan tahun lepas.

Hakim M.Gunalan bagaimanapun memerintahkan Ahmad Kamaruzaman, 49, dari Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, membela diri terhadap satu lagi tuduhan memperoleh suapan RM254,000 berhubung perkara yang sama.

Dalam penghakimannya, Gunalan berkata mahkamah perlu menimbang bukan sahaja keterangan pengadu dan saksi lain dalam kes itu tetapi juga laporan yang dibuat oleh pengadu membabitkan tertuduh.

Beliau berkata bagi tuduhan rasuah membabitkan cek RM157,000, mahkamah mendapati pembayaran wang bagi cek itu tidak selaras dengan penyata bank dan terdapat keraguan mengenai penerimaan kemasukan wang.

Bagi tuduhan membabitkan cek RM80,000, Gunalan berkata stesen minyak yang disebut dalam laporan pengadu berlainan dengan stesen minyak yang dinyatakan dalam pertuduhan.

"Justeru, ia tidak konsisten dengan laporan pengadu dan transaksi juga tidak disebut di dalam laporan pengadu. Oleh itu terdapat keraguan jika pembayaran dibuat," katanya.

Mengenai tuduhan membabitkan RM254,000, Gunalan berkata setelah mengambil kira semua dokumen dan keterangan saksi, mahkamah mendapati Ahmad Kamaruzaman memang telah menerima wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun miliknya dan dia sepatutnya tahu mengenai kemasukan wang itu.

"Bagi tuduhan pertama (RM245,000) mahkamah dapati ada prima facie telah dibuktikan, jadi tertuduh dipanggil membela diri. Bagi tuduhan kedua dan ketiga (RM237,000) mahkamah dapati prima facie gagal dibuktikan dan oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 dan 3 Nov ini untuk Ahmad Kamaruzaman, yang diwakili peguam Mat Zaidan Ali, membela diri.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Roziza Sidek memanggil 15 saksi memberi keterangan. Pada 27 Jan 2006, Ahmad Kamaruzaman yang ketika kejadian bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi di Wisma Kesas, No 1, Lebuh Raya Shah Alam, Subang Jaya dekat sini, mengaku tidak bersalah menerima kesemua suapan itu sebagai upah untuk melakukan suatu perbuatan berhubung dengan urusan iaitu melantik syarikat Lintas Lurus Sdn Bhd dan syarikat Saka Waris Sdn Bhd, sebagai juru perunding kepada Kesas.

Bagi pertuduhan pertama dia dituduh memperoleh rasuah daripada pegawai syarikat Lintas Lurus, Sanusi Damak, sebanyak RM254,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Ia sebagai upah melantik syarikat tersebut sebagai juru perunding Kesas bagi cadangan pembangunan kawasan hentian sebelah termasuk kemudahan awam serta stesen minyak di Kilometer 34, Lebuhraya Shah Alam (arah Timur dan Barat).

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa memperoleh sekeping cek bernilai RM157,000 daripada pengarah syarikat Lintas Lurus, Rosnah Yusoff, sebagai upah melantik syarikat itu bagi tujuan yang sama.

Ahmad Kamaruzaman juga didakwa memperoleh sekeping cek bernilai RM80,000 atas nama Azman Ibrahim daripada Rosnah sebagai dorongan melantik syarikat Saka Waris sebagai juru perunding Kesas untuk cadangan pembangunan kawasan hentian sebelah, stesen minyak dan kemudahan awam di kilometer 26.30 arah barat dan kilometer 29.15 arah timur Lebuh Raya Shah Alam.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan antara 18 Julai 2000 dan 9 Okt 2001. Jika sabit kesalahan, Ahmad Kamaruzaman boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana yang lebih tinggi. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan