Pemandu van dipenjara 12 tahun, 10 sebatan miliki kanabis

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang pemandu van kilang dipenjara 12 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bagi kesalahan memiliki 806.37 gram kanabis, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mariana Yahya memerintahkan Shamsukahar Omar, 43, menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap pada 6 Mac 2007 selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan itu. Shamsukahar melakukan kesalahan itu di rumah nombor lot 1/1218 Kampung Baru Chengal Lempong, Balok di sini, pukul 1.30 pagi, 7 Mac 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan.

Tertuduh pada awalnya menghadapi pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, namun pertuduhan itu kemudian dipinda mahkamah.

Mariana dalam penghakimannya berkata hukuman yang dijatuhkan bukan hanya bertujuan menghukum dan mencegah sebaliknya untuk memulihkan tertuduh daripada terus melakukan kesalahan.

Katanya, tertuduh perlu insaf dan tidak kembali melakukan kesalahan berkaitan dadah yang bukan hanya memudaratkan diri tetapi keluarga dan negara.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Bob Arumugam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana anak guamnya telah mengaku bersalah selain dia perlu menanggung isteri dan tiga anak yang berumur tujuh hingga 12 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak terjebak dengan dadah yang telah menjadi musuh nombor satu negara sejak tahun 70an. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan