Bekas warden dipenjara 10 tahun, 13 sebatan miliki dadah

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas warden Penjara Sungai Buloh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki dadah, tiga tahun lepas.

Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas Mohd Jefry Mat Kassim, 25, dari Jeli, Kelantan, setelah dia didapati bersalah memiliki 23.89 gram kanabis di rumah no: G2G2, Jalan Aur, Kompleks Penjara Sungai Buloh, Gombak, kira-kira pukul 6.50 petang, 5 Okt 2006.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan ke atas tertuduh selepas dia didapati bersalah memiliki tiga paket plastik lutsinar heroin seberat 12.06 gram dan monoacetylmorphines seberat 6.50 gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Hasbi memerintahkan Mohd Jefry menjalani kesemua hukuman serentak berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada hari kejadian (5 Okt 2006) dan membenarkan permohonan tertuduh untuk menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Sepanjang perbicaraan, seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Terdahulu, peguam Adenan Ismail yang mewakili Mohd Jefry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan memberi alasan kesalahan itu adalah yang pertama bagi anak guamnya kerana sepanjang berkhidmat dengan Jabatan Penjara sejak 2004, tertuduh tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.

Adenan berkata Mohd Jefry telah putus tunang selepas ditangkap dan perkara itu adalah salah satu hukuman yang diterima tertuduh akibat perbuatannya.

"Pihak kami juga ingin memohon berdasarkan Seksyen 282 Kanun Prosedur Jenayah untuk membolehkan tertuduh dihantar menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan atas sebab seluruh anggota keluarga tertuduh berada di sana dan mereka sebelum ini terpaksa berbelanja banyak untuk melawat tertuduh di Penjara Sungai Buloh," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suzana Abd Latiff yang mewakili pendakwaan pula berkata tertuduh sebelum ini bekerja sebagai warden penjara dan sepatutnya dia takut untuk melibatkan diri dengan dadah setelah melihat ramai banduan dipenjarakan kerana kesalahan dadah.

"Tertuduh patut tahu bahawa kesalahan dadah serius dan apabila tertuduh dipenjara diharapkan dia akan sedar, berubah dan memperbaiki kesalahannya. Pohon hukuman setimpal yang berbentuk "deterrent" (pencegahan) bukan sahaja untuk kepentingan awam tetapi juga untuk kepentingan tertuduh sendiri," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan