Seorang anggota polis akan didakwa hari ini berhubung kematian Kugan

Diterbitkan: Khamis, 1 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis, V.Navindran akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini berhubung kematian seorang tahanan polis A. Kugan, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Katanya Navindran akan didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk bagi mendapatkan pengakuan dari si mati," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Seksyen 331 itu membawa hukuman penjara untuk satu tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 11 tahun dan boleh didenda jika didapati bersalah.

Abdul Gani berkata siasatan menunjukkan bahawa daripada 92 kenyataan para saksi, hanya empat saksi telah mengenalpasti seorang, Navindran sebagai orang yang telah menyebabkan kecederaan kepada si mati dalam dua kejadian pada 16 Jan.

Katanya dalam kedua-dua kejadian, suspek dikatakan memukul si mati dengan getah hos dan empat hari kemudian si mati menemui ajalnya.

"Saya dapati dalam lingkungan empat hari ini, si mati telah membantu polis dalam siasatan dengan membawa polis ke empat lokasi berbeza antara 16 dan 20 Januari.

"Oleh itu, tiada bukti bahawa si mati mati di tempat kejadian. Sebaliknya si mati mati empat hari selepas dipukul seperti didakwa. Oleh itu terdapat jurang yang luas di antaranya dan dakwaan bunuh tidak boleh dikenakan terhadap suspek," katanya.

Abdul Gani berkata hasil laporan perubatan tidak menunjukkan bahawa si mati meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya tetapi ia merupakan akibat jangkitan virus kepada jantung atau "acute myocarditis".

Kugan, 22, suspek kumpulan samun dan curi kereta mewah, yang direman pada 15 Jan lepas, meninggal dunia semasa dalam tahanan polis di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya pada 20 Jan lepas.

Dia berada di dalam tahanan polis selama lima hari sebelum meninggal dunia dan kematiannya menyebabkan timbul rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat India yang menyebabkan kaedah polis dalam menyoal siasat dipertikai.

Abdul Gani berkata kertas siasatan berhubung kematian Kugan pada mulanya dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 3 Februari dan selepas diteliti oleh para pegawainya ia dikembalikan kepada polis pada hari yang sama untuk siasatan lanjut.

Semasa siasatan polis, peguam yang mewakili keluarga si mati memohon dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalankan autopsi kedua.

Autopsi pertama dijalankan pada 21 Januari oleh Dr Abdul Karim Tajuddin dari Hospital Serdang dan autopsi kedua dibuat pada 25 Januari oleh Dr Prashant N. Sambekar dari PPUM.

Sebaik menerima autopsi kedua, keluarga Kugan mendakwa terdapat cubaan oleh pihak berkuasa untuk menutup sebab kematian Kugan semasa dalam tahanan dan membuat aduan dengan Abdul Gani.

"Berdasarkan dakwaan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Bebas (jawatankuasa pertama) terdiri daripada kedua-dua doktor tempatan dan asing bagi menjalankan kajian mendalam dan penilaian ke atas kedua-dua laporan bedah siasat dan jawatankuasa itu mengeluarkan laporan muktamad berhubung penemuan mereka pada 26 Mac," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Gani berkata keluarga si mati mendesak supaya Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk menjalankan inkuiri berasingan dan MMC telah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Kedua Siasatan Persediaan (jawatankuasa kedua) untuk mengkaji aduan yang dibuat keluarga si mati.

Katanya jawatankuasa itu bermesyuarat pada 19 Mac dan pendengaran ditangguhkan pada 17 April. Pada 17 April dan 31 Julai, jawatankuasa kedua diteruskan untuk mendengar bukti daripada keluarga simati sebelum ia ditangguhkan kepada 9 Oktober untuk penyambungan.

"Sebelum itu, saya telah memutuskan untuk mendakwa anggota polis yang bertanggungjawab ke atas kecederaan yang dialami si mati.

"Bagaimanapun, adalah penting bagi saya untuk menunjukkan bahawa disebabkan dua pendengaran yang belum selesai, satu di hadapan jawatankuasa kedua dan satu lagi di Mahkamah Tinggi, saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengenaan suatu tuduhan bagi dakwaan itu kerana saya berpandangan bahawa semua perkara ini perlu diselesaikan terlebih dahulu dan anggota keluarga telah diberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan adil.

"Oleh kerana jawatankuasa kedua telah menangguhkan pendengarannya kepada 9 Oktober dan sebaliknya ini akan memanjangkan perkara itu, saya memutuskan untuk tidak melengah-lengahkannya lagi," katanya.

Jika ada sebarang perbezaan dalam keputusan oleh jawatankuasa kedua, Abdul Gani berkata beliau akan mempertimbang sama ada memilih dakwaan lebih berat atau sebaliknya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan