Pegawai istana Kelantan kata mereka layak keluarkan kenyataan

Diterbitkan: Jumaat, 25 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pegawai istana Kelantan yang disaman oleh Tengku Temenggong Kelantan kerana menfitnah, mendakwa bahawa kenyataan akhbar berkaitan pertelingkahan yang berlaku antara Tengku Temenggong dan isteri yang dikeluarkan, adalah suatu 'keistimewaan yang melayakkan'.

Dalam kenyataan pembelaan mereka yang difail pada 11 Sept di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, mereka berkata yang mereka sekadar bertindak mengikut tanggungjawab masing-masing dalam hal ehwal istana atas arahan Pemangku Raja Kelantan.

Kedua-dua pegawai itu mendakwa bahawa perkataan-perkataan dalam kenyataan itu bukan bermaksud untuk memperkecilkan Tengku Temenggong dalam kedudukan beliau sebagai anggota keluarga Diraja Kelantan.

Mereka memberi alasan bahawa pergolakan dalam kehidupan Tengku Temenggong dan isterinya adalah perkara peribadi dan tiada kaitan dengan hal ehwal pejabat Sultan Kelantan.

Pada 10 Ogos lepas Tengku Temenggong Tengku Muhamamd Fakhry Sultan Ismail Petra menfail satu saman yang menamakan pegawai tadbir (pentadbiran) pejabat Sultan Kelantan Nik Mahmud Nik Jaafar dan pengelola istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad sebagai defendan.

Tengku Temenggong menyaman keduadua pegawai istana itu terhadap satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada 15 Jun lepas mengenai masalah perkahwinan yang dihadapi oleh Tengku Temenggong dan isterinya seorang model dari Indonesia Manohara Odelia Pinot.

Tengku Fakhry mendakwa kenyataan yang ditanda tangani oleh Abdul Halim itu menyatakan bahawa Sultan Kelantan dan istana tidak seharusnya diheret ke dalam krisis perkahwinan yang membabitkan Tengku Fakhry dan isterinya Manohara.

Tengku Temenggong berkata Abdul Halim dalam kenyataan itu berkata Sultan dan pihak istana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dengan kenyataan yang dibuat oleh Tengku Fakhry mengenai masalah perkahwinan yang sedang dihadapinya.

Beliau mendakwa kenyataan itu menggambarkan seolah-olah ayahandanya dan pejabat istana meminggirkan beliau, seolaholah menggambarkan yang beliau bersalah mendera isterinya.

Beliau juga mendakwa ia juga menggambarkan yang beliau memiliki kelakuan yang tidak baik yang membawa malu kepada istana sehingga menyebabkan ayahandanya meminggirkan beliau dan perkara yang berkaitan dengan perkahwinannya. Beliau berkata kedua-dua defendan gagal memberi jawapan kepada satu surat yang dikeluarkan oleh peguamnya pada 24 Jun lepas yang menuntut permohonan maaf kepadanya menerusi media dalam tempoh 48 jam.

Menurutnya defendan juga gagal dalam tuntutan supaya mengeluarkan kenyataan akhbar untuk memberi penjelasan bahawa kenyataan pertama yang dikeluarkan adalah tidak betul.

Kedua-dua pegawai itu dalam kenyataan pembelaan yang difail oleh Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Kelantan berkata kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada orang ramai yang memberitahu bahawa berlaku pertelingkahan antara Tengku Temenggong dan isterinya adalah perkara peribadi, dan tiada kena mengena dengan Sultan Kelantan dan/atau pejabat Sultan Kelantan, dalam kedudukan baginda sebagai Sultan.

Mereka juga mendakwa bahawa mereka tidak pernah mengutarakan kata-kata yang bersifat palsu, berniat jahat atau fitnah terhadap Tengku Temenggong, atau ditemubual oleh mana-mana anggota media.

"Disebabkan oleh perkara yang dinyatakan dalam pembelaan ini, langkah plaintif itu tidak memerlukan tindakan, remah, menyusahkan, dan menyalah guna proses mahkamah. Oleh itu defendan memohon supaya tuntutan itu ditolak dengan kos," kata mereka.

Semasa dihubungi peguam Tengku Fakhry, Mohd Haaziq Pillay berkata, beliau akan menfail jawapan minggu depan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan