Mahkamah dengar permohonan penerbit 'Herald' 14 Oktober ini

Diterbitkan: Isnin, 14 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar permohonan Gereja Roman Katholik Kuala Lumpur untuk mengenepikan perintah mahkamah membenarkan lapan pihak menjadi pencelah berhubung penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya.

Hakim Lau Bee Lan, yang menetapkan tarikh tersebut dalam kamar, juga membenarkan tujuh Majlis Agama Islam Negeri memfailkan afidavit bagi menjawab permohonan itu.

Pada 3 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan tujuh majlis agama itu dan sebuah persatuan menjadi pencelah pada permohonan baru Ketua Biskop Tan Sri Murphy Pakiam untuk semakan kehakiman dalam perkara itu.

Dalam keputusannya, Hakim Lau berpendapat lapan pencelah tersebut iaitu Majlis Agama Negeri dari Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka serta Persatuan Cina Muslim Malaysia mempunyai kepentingan undang-undang dalam isu itu.

Pada 16 Februari lalu, Pakiam memfailkan permohonan baru untuk semakan kehakiman selepas permohonan semakan kehakiman pada 2008 menjadi akademik berikutan permit penerbitan 'The Herald' bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2008, telah luput.

Dalam permohonan itu, Pakiam, sebagai penerbit 'The Herald' menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam tindakannya menuntut perisytiharan bahawa keputusan responden bertarikh 7 Januari, 2009, melarang beliau daripada menggunakan perkataan Allah dalam 'HeraldThe Catholic Weekly' adalah haram.

Beliau juga menuntut satu perisytiharaan bahawa beliau berhak menggunakan perkataan Allah dan perkataan itu bukan eksklusif untuk agama Islam. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan