Usaha Anwar lucutkan kelayakan pendakwaan satu pencabulan terang-terangan

Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan berhubung perbicaraan kes liwatnya tidak lebih daripada satu pencabulan yang terangterangan dalam proses mahkamah, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Dalam hujahnya, Peguam Kanan Persekutuan See Mee Chun berkata mahkamah sepatutnya menolak permohonan itu berasaskan bahawa Anwar memohon untuk melarang pasukan pendakwaan melaksanakan tugas berkanun mereka.

"Permohonan ini tidak berasas. Hujah kami adalah permohonan ini digugurkan atau ditolak dengan kos," kata See. Beliau berkata pendakwaan berhubung kes liwat ini tidak boleh dikaji semula oleh mahkamah rayuan.

Usaha itu adalah "benar-benar" serangan ke atas kuasa Peguam Negara mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Beliau juga berhujah bahawa permohonan Anwar adalah untuk melemahkan kejayaan pendakwaan dalam perbicaraan jenayah.

Anwar memfailkan permohonan untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwatnya pada 11 Ogos, dengan menyebut alasannya sebagai "sama seperti mempersenda keadilan".

Beliau menamakan Peguam Cara 1 Datuk Idrus Harun, Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, para Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman dan Noorin Badaruddin, Pendakwa Raya dan Kerajaan sebagai responden.

Anwar menyatakan tindakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, dalam menandatangani sijil Seksyen 418A, jelas menunjukkan hakikat yang beliau adalah orang yang bertanggungjawab bagi keadaan "main tarik tali dan manipulasi oleh pihak pendakwaan mengikut kehendaknya."

Antara lain, beliau memohon diisytiharkan pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwatnya tidak layak untuk mewakili Pendakwa Raya dan/atau menjalankan prosiding atau rayuan terhadapnya.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

See juga berhujah bahawa "kebimbangan munasabah bagi berat sebelah dan/atau wujud bahaya sebenar bagi berat sebelah" oleh para responden terhadapnya adalah tidak berasas.

Katanya, semua isu berkait dengan perbicaraan liwat pada 1998, telah diputuskan oleh mahkamah dan Inkuiri Suruhanjaya Diraja.

Sebelum itu, peguam bela Anwar, R. Sivarasa berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman perlu diberikan untuk menahan responden dari melaksanakan kuasa mereka terhadap anak guamnya.

"Dalam melaksanakan kuasa mereka mesti melakukannya dengan saksama berasaskan kepada prinsip keadilan," katanya.

Katanya permohonan itu tidak boleh disalah anggap sebagai usaha untuk menghalang atau menggagalkan perbicaraan liwat.

"Apa yang kami cuba nyatakan ialah semua tujuh responden ini dicemari dengan berat sebelah, Peguam Negara mempunyai banyak pendakwa raya untuk mengambil alih perbicaraan ini," katanya.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menetapkan 15 September 15 bagi keputusan untuk permohonan semakan. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan