Bapa mengaku tak salah paksa anak jadi pengemis

Diterbitkan: Khamis, 3 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penjual sarung kaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mendera anak perempuannya dengan wayar televisyen dan juga memaksanya menjadi pengemis.

Majistret Hafizza Sauni membenarkan tertuduh berumur 32 tahun itu diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Okt ini bagi membolehkan beliau mengemukakan penjamin dan melantik peguam.

Nama lelaki itu tidak didedahkan untuk melindungi identiti anaknya yang berumur 12 tahun.

Lelaki itu didakwa mendera anaknya di ruang tamu kediaman mereka di Flet PPR Wangsa Sari Setapak daerah Sentul pukul 5.30 petang 11 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau keduaduanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memaksa anaknya untuk mengemis di sekitar Pasar Seni, Dang Wangi, pada 5 petang 4 Mei tahun ini.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau keduaduanya sekali. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan