Remaja bebas tuduhan bunuh teman wanita

Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang remaja daripada tuduhan membunuh teman wanitanya tiga tahun lalu, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap remaja itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Akhtar Tahir semasa menyampaikan penghakimannya berkata tertuduh dilepaskan dan dibebaskan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukakan keterangan langsung untuk mensabitkan tertuduh dengan tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihak pendakwaan telah gagal mengemukakan tiga faktor penting iaitu gagal memanggil saksi penting iaitu ahli kimia memberi keterangan semasa perbicaraan berlangsung.

Dua lagi faktor, katanya pihak pendakwaan juga gagal memanggil bapa mangsa yang mengenal pasti mayat mangsa sebagai saksi dan mengemukakan pisau yang didakwa sebagai senjata pembunuhan kepada mahkamah semasa perbicaraan.

Mohd Nazrul Shumaimi, 18, dituduh membunuh teman wanitanya, Noraini Umar yang ketika itu berusia 16 tahun di kawasan jalan pintas antara simpang Jengka 5 ke Kuala Sentul, Sungai Jerik, Maran pada 2 Sept 2006, kirakira 4.30 petang. Mohd Nazrul yang memakai baju kemeja T putih dan berseluar trek hitam panjang dilihat mengalirkan air mata sebaik hakim membacakan keputusan itu manakala anggota keluarganya yang turut berada dalam mahkamah turut menjerit kegembiraan.

Sepanjang perbicaraan sejak 24 Ogos, 2007, pihak pendakwaan memanggil sembilan saksi untuk memberikan keterangan.

Mohd Nazrul diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid dan Rozelan Abdul Rahman manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Najmi Daud. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan